Intervensi awal untuk orang yang berisiko mengalami psikosis

Soalan ulasan

Adakah terdapat bukti yang berkualiti tinggi yang menunjukkan bahawa intervensi untuk orang yang berisiko mengalami psikosis berkesan?

Latar belakang

Psikosis adalah keadaan mental yang serius yang dicirikan dengan kehilangan hubungan dengan realiti. Episod psikosis pertama yang jelas boleh didahului oleh tempoh 'prodromal' sekurang-kurangnya enam bulan, di mana seseorang mengalami perubahan tidak spesifik secara beransur-ansur dalam pemikiran, persepsi, tingkah laku dan fungsi. Walaupun seseorang mengalami perubahan, mereka belum lagi mengalami gejala psikotik yang lebih jelas seperti khayalan (keyakinan palsu tetap) atau halusinasi (persepsi tanpa sebab). Beberapa perkhidmatan dengan pendekatan rawatan yang menggabungkan farmakoterapi, psikoterapi dan rawatan psikososial, yang dibangunkan di seluruh dunia, kini memberi tumpuan kepada pencegahan psikosis pada orang yang berisiko dengan memberikan rawatan sepanjang tempoh prodromal ini. Ulasan ini menilai bukti yang ada berkenaan dengan kesan pendekatan rawatan yang berbeza untuk orang yang belum didiagnosis dengan psikosis bukan afektif tetapi berada di tahap prodroma psikosis.

Carian bukti

Pada 8 Jun 2016 dan 4 Ogos 2017, kami menjalankan carian elektronik dari pengkalan data khusus pengajian Cochrane Schizophrenia untuk mencari kajian klinikal yang secara rawak diperuntukkan pada individu yang berisiko mengembangkan psikosis untuk menerima pelbagai rawatan untuk mencegah perkembangan psikosis.

Bukti yang ditemui

Kami dapat memasukkan 20 kajian dengan 2151 peserta. Kajian-kajian ini menganalisis pelbagai rawatan. Semua penemuan ulasan adalah, paling baik, berkualiti rendah. Ada beberapa cadangan dari satu kajian kecil bahawa orang yang berisiko psikosis mungkin mendapat manfaat daripada mengambil asid lemak omega-3 dari segi peralihan ke psikosis. Kajian-kajian lain mendapati penambahan ubat-ubatan antipsikotik untuk pakej penjagaan sokongan seolah-olah tidak membuat banyak perbezaan dari segi peralihan hingga penyakit penuh. Apabila terapi tingkah laku kognitif (CBT) + terapi sokongan dibandingkan dengan terapi sokongan sahaja sekitar 8% peserta yang diperuntukkan kepada gabungan CBT dan terapi sokongan yang beralih kepada psikosis semasa tempoh susulan sebanyak 18 bulan, berbanding dengan ganda peratusan pada orang yang hanya mendapat terapi sokongan. Ini mungkin penting tetapi data ini berkualiti rendah. Semua ujian CBT dan pakej lain yang lain tidak dijumpai perbezaan jelas antara rawatan untuk peralihan kepada psikosis.

Kesimpulan

Terdapat banyak usaha dan perbelanjaan yang dilaburkan untuk menguji pendekatan rawatan untuk pencegahan episod pertama skizofrenia. Pada masa ini, terdapat beberapa bukti yang berkualiti rendah yang menunjukkan bahawa asid lemak omega-3 mungkin berkesan, tetapi tidak ada bukti berkualiti tinggi untuk menunjukkan bahawa sebarang jenis rawatan adalah berkesan, dan tidak ada kesimpulan yang tegas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah(USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information