Rawatan bagi ulser (luka) dan perubahan kulit lain untuk pesakit kusta

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan rawatan (seperti pendidikan, penjagaan diri, cucian dan balutan, penjagaan kulit, atau kasut/selipar) yang direkabentuk untuk mencegah atau merawat kerosakan kulit bagi pesakit kusta dan mereka yang mempunyai potensi kerosakan pada saraf periferi . Rawatan boleh dibandingkan dengan penjagaan biasa, tiada rawatan, atau rawatan lain. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2018.

Latarbelakang

Kusta (penyakit Hansen) adalah penyakit berjangkit yang meliputi populasi manusia secara global dan membawa kesan sampingan yang berpanjangan, seperti kecederaan dan kejadian luka (ulser) di kulit, terutamanya di bahagian kaki. Kerosakan saraf dan otot berjangka masa panjang memberi impak kepada kualiti kehidupan seseorang, yang membawa kepada masalah mental dan kewangan. Kelewatan diagnosis adalah punca terbesar kepada hilang keupayaan, oleh itu kunci kepada pengurusan yang efektif ialah diagnosis dan rawatan seawal mungkin, juga pengesanan awal dan rawatan kerosakan saraf, digabungkan dengan pendidikan kesihatan yang efektif untuk mencegah kerosakan kaki dan tangan. Ulasan ini bertujuan untuk menangani ketidakpastian mengenai cara terbaik untuk mencegah dan merawat kerosakan kulit.

Ciri-ciri kajian

Kami telah masukkan 14 kajian (854 penghidap kusta). Kebanyakan peserta hanya mempunyai satu luka pada satu belah kaki sahaja. Kebanyakkan luka adalah bersih (tidak dijangkiti) dan berbeza saiz dan juga kedalaman, dan kurang daripada satu tahun; sebahagian luka yang lain lebih rumit. Para peserta berumur diantara 18 hingga 74 tahun. Dalam 11 kajian yang melaporkan jantina, bilangan lelaki lebih ramai berbanding wanita. Kajian telah dijalankan di Brazil, Ethiopia, Mesir, Indonesia, Mexico, Korea Selatan, dan India, kebanyakkan di klinik pesakit luar. Kebanyakan kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan mereka.

Rawatan kebanyakannya dibandingkan dengan dresing kering atau dresing yang direndam dalam larutan yang berbeza. Lain-lain perbandingan termasuk plaster khas, kasut kanvas, dan rendaman kaki.

Keputusan utama

Rawatan yang dinilai termasuk: terapi laser, diod pemancar cahaya (LED), pelekat atau pes zink, suntikan pentoxifylline, pendedahan kepada medan magnetik berdenyut, terapi lilin, gel ketanserin, gel membran amniotik, serbuk fenytoin, kasut plaster, dan kasut/selipar. Hasil diukur dari permulaan rawatan. Keputusan utama berikut adalah berdasarkan bukti yang berkepastian sangat rendah, yang demikian kami tidak pasti akan keputusan ini.

Tiga kajian membandingkan pita zink dengan intervensi lain: magnesium sulfat gliserin, iodin povidon, atau kain kasa yang direndam dalam Eusol. Selepas satu bulan rawatan, bilangan ulser yang sembuh adalah lebih tinggi dan kawasan ulser adalah lebih kecil dalam kumpulan pita zink berbanding dengan magnesium sulfat gliserin. Tidak terdapat perbezaan yang jelas dalam pengurangan kawasan ulser pada minggu ke enam apabila membandingkan pita zink dengan iodin povidon. Masa penyembuhan untuk ulser yang dalam bagi kumpulan pita zink adalah 17 hari berbanding 30 hari bagi kumpulan kain kasa yang direndam dalam Eusol. Kajian ini juga melaporkan ketiadaan tanda sensitif pada kulit bagi mana-mana kumpulan pada dua bulan; dua kajian yang lain tidak memberikan data tentang kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Dua kajian membandingkan phenytoin topikal dengan dresing air garam. Satu kajian menunjukkan pengurangan yang lebih besar pada kawasan ulser dengan phenytoin. Kajian lain mendapati pengurangan yang lebih besar pada jumlah ulser yang memihak kepada phenytoin. Kedua-dua kajian mengukur hasil ini selepas empat minggu rawatan. Tiada kejadian yang tidak diingini dilihat dalam mana-mana kajian.

Lima kajian yang dinyatakan tidak menilai pencegahan ulser, kerana terapi adalah untuk rawatan dan bukannya pencegahan.

Dua kajian membandingkan kasut perlindungan (dengan atau tanpa penjagaan kendiri) dengan kasut but daripada polivinyl klorida (PVC - sejenis plastik), atau medan magnetik berdenyut digabungkan dengan penjagaan kendiri dan kasut pelindungan. Dalam kajian membandingkan kasut kanvas dengan but PVC, bagi peserta yang sudah mempunyai parut, tiada ulser baru terjadi sepanjang satu tahun. Tiada perbezaan yang jelas di antara kumpulan bagi bilangan peserta yang ulser mereka telah sembuh sepenuhnya. Dalam kajian yang menilai medan magnetik yang berdenyut, pencegahan pembentukan ulser yang baru tidak diukur; walau bagaimanapun, tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan bagi jumlah ulser selepas empat hingga lima minggu dalam rawatan. Hanya satu kajian yang melaporkan maklumat tentang kejadian yang tidak diingini: but PVC boleh menjadi sangat panas jika cahaya matahari kuat, dengan kemungkinan berlakunya kebakaran.

Kepastian bukti

Kami menilai bukti sebagai berkepastian yang sangat rendah, bermakna keputusan tidak dapat dipastikan. Terdapat kebimbangan mengenai bagaimana peserta ditentukan untuk rawatan, samada peserta dan penyiasat kajian tahu rawatan mana yang telah diterima, dan bilangan peserta yang dikeluarkan dari kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information