Ghrelin, hormon lapar untuk pengurusan pesakit kanser dengan kehilangan selera makan dan kesusutan berat

Kesimpulannya

Tiada bukti yang baik untuk menyokong atau menolak cadangan bahawa ghrelin berguna dalam pengurusan pesakit kanser dengan kehilangan selera makan dan penurunan berat. Tiadacukup bukti bagi mengesyorkannya untuk amalan klinikal.

Latar belakang

Enam puluh hingga lapan puluh peratus pesakit kanser mengalami kehilangan selera makan dan kesusutan berat, yang seterusnya dikaitkan dengan penurunan jangka hayat dan kualiti hidup. Ghrelin, hormon lapar dirembeskan oleh perut dan organ lain-lain. Kajian telah menunjukkan ghrelin boleh diguna dalam rawatan untuk kehilangan selera makan dan kesusutan berat dalam kalangan pesakit kanser. Walau bagaimanapun, keberkesanan dan keselamatan ghrelin dalam kalangan mereka belum dinilai. Dalam ulasan ini kami ingin untuk menilai semua bukti mengenai keberkesanan dan keselamatan ghrelin dalam meningkatkan selera makan dan berat badan dalam kalangan pesakit kanser dengan kehilangan selera makan dan kesusutan berat.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 20 Julai 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati tiga kajian yang merekrut sejumlah 59 pesakit kanser (37 lelaki dan 22 wanita) berumur antara 54 hingga 78 tahun. Empat puluh tujuh pesakit kanser telah melengkapkan rawatan. Kajian-kajian adalah berbeza dalam reka bentuk dan memasukkan orang-orang dengan pelbagai jenis kanser. Kajian-kajian juga berbeza dalam dos, laluan suntikan, kekerapan dan tempoh rawatan. Satu kajian membandingkan ghrelin dengan plasebo manakala dua kajian membandingkan dos ghrelin yang berlainan (dos lebih tinggi dengan dos lebih rendah). Hasil yang diminati untuk pesakit kanser dengan kehilangan selera makan dan kesusutan berat, seperti penambahbaikan pengambilan makanan dan berat badan, tidak dilaporkan secukupnya.

Kesemua tiga kajian yang dimasukkan dibiaya oleh agensi kerajaan. Satu kajian menerima geran tambahan daripada syarikat farmaseutikal.

Keputusan utama

Kami tidak mendapati cukup bukti bahawa penggunaan ghrelin menunjukkan perbezaan dalam pengambilan makanan. Kami mendapati tiada bukti bahawa menggunakan ghrelin sahaja atau dalam kombinasi memberi sebarang perbezaan kepada berat badan. Kami tidak dapat mencapai sebarang kesimpulan mengenai kesan sampingannya. Maklumat yang terhad bermakna kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian menggunakan empat tahapt: tinggi, sederhana, rendah, atau sangat rendah. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusannya. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Bukti dalam ulasan ini adalah berkualiti sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information