Intervensi untuk mengurus nafas berbau

Soalan ulasan

Dengan Ulasan Cochrane ini, kami telah cuba mengetahui cara terbaik untuk mengawal nafas berbau, yang juga digelar sebagai halitosis, disebabkan oleh penyakit dalam mulut dalam kalangan orang dewasa.

Latar belakang

Nafas berbau atau halitosis adalah disebabkan oleh terlalu banyak bakteria ataupun cebisan makanan kecil yang tertinggal dalam mulut, paling biasanya di belakang lidah. Ia boleh menjadi tanda penyakit dalam mulut ataupun penyakit badan yang lain. Orang dengan nafas berbau boleh mempunyai harga diri yang rendah dan berasa malu. Ia boleh menjejaskan hubungan peribadi dan pekerjaan mereka. Dalam ulasan ini, kami melihat kepada rawatan untuk nafas berbau disebabkan oleh penyakit dalam mulut dan rawatan yang bertujuan untuk mengawal dan bukannya setakat menyembunyikan nafas berbau.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini adalah terkini sehingga 8 April 2019. Ulasan ini merangkumi 44 kajian yang melibatkan 1809 orang yang berusia antara 17 hingga 77 tahun. Kajian ini membandingkan intervensi dengan intervensi yang lain, plasebo atau kawalan. Ia melihat lapan cara yang berbeza untuk mengawal nafas berbau: pembersihan mekanikal (contohnya pembersih lidah dan berus gigi), gula-gula getah, agen penyahbauan sistemik (contohnya ekstrak cendawan yang anda makan), agen topikal (contohnya gel yang anda sapu), ubat gigi, pencuci/kumuran mulut, tablet, dan gabungan rawatan yang berbeza.

Hasil-hasil utama

Bukti adalah amat tidak pasti bagi pembersihan lidah mekanikal berbanding tiada pembersihan lidah, gula-gula getah 0.6% eucalyptus berbanding gula-gula getah plasebo, ekstrak cendawan 1000 mg berbanding plasebo, gel hinokitiol berbanding gel plasebo, 0.3% ubat gigi triclosan berbanding ubat gigi kawalan, pencuci mulut yang mengandungi klorheksidina dan zink asetat berbanding pencuci mulut plasebo, dan menggosok gigi ditambah dengan pencuci mulut setil piridium berbanding menggosok gigi.

Kesan kemudaratan bagi pelbagai intervensi tidak dilaporkan ataupun tidak penting.

Kepastian bukti

Tahap kepastian yang kami dapati dalam penemuan-penemuan ini adalah rendah hingga sangat rendah. Ini adalah disebabkan terutamanya oleh risiko bias dan bilangan kecil orang yang dikaji dalam kajian yang dimasukkan.

Kesimpulan

Kami tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyatakan intervensi mana yang lebih berkesan untuk mengawal nafas berbau.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Ilyas bin Afendi. Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi m.ilyas.afendi@gmail.com. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information
Share/Save