Suhu kultur embrio bagi pembiakan berbantu

Soalan ulasan

Para penulis ulasan Cochrane telah mengkaji bukti untuk pengkulturan embrio manusia pada suhu yang berbeza semasa pembiakan berbantu; untuk menganalisa strategi yang mana mendorong kepada kelahiran hidup yang tertinggi.

Latar belakang

Kemandulan (masalah kesuburan) didefinisikan sebagai kegagalan mencapai kehamilan selepas 12 bulan atau lebih selepas hubungan seksual tanpa perlindungan yang kerap. Persenyawaan in vitro (IVF) merupakan salah satu daripada kaedah-kaedah pembiakan berbantu yang dapat menolong pasangan yang mengalami masalah kesuburan untuk mempunyai seorang bayi. Sewaktu IVF, beberapa oosit (telur) diambil dari ovari dan disenyawakan melalui kultur dengan mengkultur sperma dalam sebiji piring bersama satu sampel sperma, atau dengan menyuntik satu sel sperma secara langsung ke dalam oosit (suntikan sperma intrasitoplasmik ; ICSI). Sebelum dipindahkan ke dalam rahim, oosit yang telah disenyawakan (dikenali sebagai embrio), perlu dikultur dalam sebuah inkubator untuk beberapa hari bagi tumbesaran lanjut. Semasa jangka inkubasi ini, embrio biasanya dikultur pada suhu 37°C, bagi meniru suhu teras badan manusia. Namun, beberapa kajian menunjukkan bahawa suhu dalam sistem reproduksi perempuan mungkin kurang daripada 37°C, mencadangkan bahawa suhu inkubator yang lebih rendah mungkin lebih bermanfaat untuk tumbesaran embrio. Dalam ulasan ini, kami telah menilai suhu yang berbeza bagi kultur embrio, yang mungkin mendorong kepada kadar kelahiran hidup yang lebih tinggi.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan tiga percubaan rawak terkawal yang membandingkan 37.0°C atau 37.1°C dengan suhu inkubasi yang lebih rendah. Kajian-kajian tersebut dilaksanakan di negara Amerika Syarikat, Belgium dan Mesir, serta melibatkan sejumlah 563 wanita yang semuanya telah menjalani IVF/ICSI. Satu kajian melaporkan kadar kelahiran hidup, dibandingkan inkubasi embrio pada 37.0°C dengan 36.0°C, satu kajian melaporkan kehamilan klinikal, dibandingkan inkubasi pada 37.1°C dengan 36.6°C, dan satu kajian melaporkan pelbagai keputusan (keguguran, kehamilan klinikal, kehamilan sedia ada, dan kehamilan pelbagai), dibandingkan dengan inkubasi embrio pada 37.0°C dengan 36.5°C. Dua kajian melaporkan tiada pembiayaan kajian atau kepentingan bersaing, manakala kajian lain melaporkan tiada maklumat tentang pembiayaan atau kepentingan bersaing. Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2019.


Keputusan-keputusan utama

Hanya satu kajian melaporkan keputusan utama kelahiran hidup, tetapi disebabkan saiz sampel yang kecil, kerawakan pada oosit dan reka bentuk berpasang, tiada kesimpulan dapat dicapai. Kami tidak pasti jika inkubasi dalam suhu yang lebih rendah daripada 37°C adalah berfaedah bagi keputusan-keputusan berikut; keguguran, kehamilan klinikal, kehamilan sedia ada dan kehamilan pelbagai. Melihat kepada kehamilan klinikal, jika wanita mempunyai 55% peluang untuk kehamilan klinikal dengan kultur embrio pada 37°C, kadar kehamilan klinikal menggunakan suhu yang lebih rendah adalah antara 47% dan 66%. Kesan-kesan buruk kebanyakannya tidak dilaporkan; hanya satu kajian melaporkan tiada kesan-kesan buruk. Oleh sebab bilangan kajian yang terhad, dan setiap kajian melaporkan keputusan-keputusan yang berbeza, lebih percubaan rawak terkawal (RCTs) diperlukan dalam bidang ini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti (menggunakan GRADE) adalah sangat rendah disebabkan risiko berat sebelah yang tinggi (berat sebelah prestasi) dan kekurangan ketepatan (bilangan kajian terhad dan selang keyakinan yang luas). Berdasarkan kepada bilangan kajian-kajian terlibat yang terhad dan berkualiti sangat rendah, tiada bukti bahawa suhu lebih rendah boleh meningkatkan kadar kelahiran hidup atau sebarang keputusan-keputusan kajian yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi densechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information