Ubat titis telinga untuk pengeluaran lilin telinga

Latar belakang

Pengumpulan lilin telinga adalah lazim. Ia boleh menjadi tidak selesa bagi pesakit dan boleh menyebabkan masalah pendengaran. Ubat titis telinga telah dikaji sebagai alat yang berpotensi untuk melembutkan lilin, mencegah keperluan untuk rawatan lanjut seperti memicagari. Ulasan ini melihat rawatan manakah (titisan berasaskan minyak dan air atau semburan) dapat membantu menyelesaikan lilin yang terkumpul.

Ciri-ciri kajian

Pada Mac 2018 kami mencari kajian-kajian klinikal di mana ubat titik telinga diguna untuk membantu melembutkan dan mengeluarkan lilin telinga yang terkumpul di dalam telinga pesakit. Kami mendapati dan memasukkan 10 kajian dengan sejumlah 623 peserta. Walau bagaimanapun, hanya enam daripada kajian-kajian ini menyediakan data yang dapat dianalisa hasil utama, perkadaran pesakit dengan pembersihan lilin telinga yang lengkap. Enam kajian ini melibatkan sejumlah 360 peserta, kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa (semua peringkat umur), dengan penyumbatan separa atau penuh telinga luaran dengan lilin telinga.

Keputusan utama

10 kajian yang disertakan melihat sama ada ubat titis berasaskan minyak (polipeptida triethanolamine, minyak badam, benzocaine, chlorobutanol), ubat titis berasaskan air (natrium docusate, carbamide peroksida, phenazone, salisilat choline, urea peroksida, kalium karbonat), salin (air garam) atau air sahaja, atau tanpa rawatan.

Hanya satu kajian membandingkan penggunaan titisan dengan bahan aktif dengan tidak menggunakan ubat titis sama sekali. Ubat titis boleh membantu meningkatkan perkadaran telinga untuk dibersihkan daripada lilin dari 1 dalam 20 (jika anda tidak melakukan apa-apa) hingga kira-kira 1 dalam 5 (jika anda menggunakan ubat titis).

Kami tidak menemui sebarang bukti bahawa titisan berasaskan air atau berasaskan minyak adalah berbeza berbanding salin atau air. Walau bagaimanapun, kami juga tidak mendapati sebarang bukti bahawa air atau salin lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa.

Kesan buruk (sampingan) adalah tidak lazim. Kurang daripada 30 pesakit melaporkan sebarang kejadian buruk apabila menggunakan titisan dan ini adalah ringan (seperti sedikit kerengsaan atau sakit, atau bau tidak menyenangkan). Tiada kesan sampingan yang serius dilaporkan oleh mana-mana peserta.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat tahap: kualiti sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan hasilnya. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Untuk pembersihan lilin telinga, kami menilai kualiti bukti sebagai rendah. Untuk kesan buruk, kami menilai kualiti bukti sebagai rendah.

Kesimpulan

Kami mendapati bahawa menggunakan ubat titisan telinga apabila anda mempunyai saluran telinga yang tersumbat separa atau sepenuhnya dapat membantu mengeluarkan lilin telinga di telinga anda. Adalah tidak jelas sama ada satu jenis ubat titis lebih baik daripada yang lain, atau sama ada ubat titis yang mengandungi bahan aktif adalah lebih baik daripada air kosong atau air garam.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information