Adakah tablet atau cecair antihistamin H1 membantu memperbaiki gejala ekzema dalam kalangan orang yang sudah menggunakan krim atau salap untuk ekzema mereka?

Soalan ulasan

Adakah antihistamin H1 (yang menghalang tindakan bahan kimia yang dilepaskan sebagai sebahagian daripada tindak balas alergi; yang dikenali sebagai 'histamines'), diambil secara tablet atau cecair, berkesan dan selamat dalam kalangan orang dari sebarang peringkat umur dengan diagnosis ekzema, jika diberi sebagai tambahan kepada krim dan salap, berbanding bahan tidak aktif (plasebo) atau tiada tambahan kepada krim dan salap?

Latar belakang

Ekzema (juga dikenali sebagai 'ekzema atopik / dermatitis') adalah gangguan kulit yang sering mempengaruhi kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa. Di negara-negara maju, 10% hingga 20% orang dipengarui oleh ekzema sepanjang hayat mereka. Gejala utama adalah gatal, yang mengakibatkan menggaru dan, dengan keradangan kulit, kerapkali menghasilkan kemerahan kulit. Gejala-gejala ekzema boleh menyebabkan tidak dapat tidur dan keletihan, menurunkan kualiti hidup. Antihistamin sering diberi untuk gatal-gatal (terutamanya antihistamin H1 yang diambil melalui mulut), dan ia boleh mengurangkan gejala ekzema apabila diberi sebagai tambahan kepada rawatan konvensional yang secara langsung diapliksi pada kulit (contohnya emolien, pelembap, krim steroid), walaupun ia tidak boleh menyembuhkan. Banyak antihistamin boleh didapati tanpa preskripsi, misalnya, cetirizine atau loratadine. Walaupun antihistamin H1 sering dipreskrib untuk merawat ekzema, kami tidak tahu sama ada ia berkesan dan selamat.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian yang relevan sehingga Mei 2018. Kami memasukkan 25 kajian rawak terkawal dengan 3285 peserta semua peringkat umur dengan diagnosis ekzema. Lapan kajian melibatkan kanak-kanak atau remaja, dan 17 melibatkan orang dewasa. Jantina peserta dan keterukan gejala sering tidak dilaporkan. Semua kajian telah dijalankan di persekitaran penjagaan sekunder, termasuk klinik hospital, klinik penyelidikan, pusat dermatologi, dan pusat pembedahan, yang bermaksud para peserta mungkin mempunyai ekzema yang lebih teruk berbanding jika direkrut dari titik pertama persekitaran pertemuan (iaitu penjagaan primer). Semua kecuali satu kajian membandingkan antihistamin H1 dengan plasebo. Para penyelidik mengkaji 13 antihistamin H1 yang berbeza, kebanyakannya adalah antihistamin H1 kurang sedatif (dikenali sebagai ‘antihistamin generasi kedua’). Kajian berlangsung antara tiga hari dan 18 bulan. Tujuh kajian menerima pembiayaan daripada syarikat farmaseutikal; ia adalah kajian terbesar yang dimasukkan dalam ulasan ini.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak mendapati bukti yang meyakinkan bahawa antihistamin H1 membantu pesakit dengan ekzema.

Satu kajian membandingkan cetirizine 0.5 mg/kg/d dengan plasebo (dalam kalangan kanak-kanak selama tempoh 8 bulan). Tiada data disediakantentang gejala gatal ekzema yang dinilai oleh pesakit. Cetirizine mungkin dikaitkan dengan kurang kejadian buruk (kebanyakannya ringan) dan keperluan untuk kurangkan antihistamin H1 tambahan bagi mengelakkan eksaserbasi. Walaupun tanda-tanda klinikal yang dinilai oleh doktor dikurangkan dalam kedua-dua kumpulan, hasilnya tidak menunjukkan perbezaan di antara kumpulan (semua bukti berkualiti sederhana).

Apabila dibandingkan dengan plasebo, kami mendapati tiada bukti bahawa peningkatan dos cetirizine 10 mg/d selama empat minggu membuat perbezaan dari segi gatal yang dinilai oleh pesakit, bilangan kesan sampingan, tanda-tanda yang dinilai oleh doktor, atau bilangan eksaserbasi ekzema seperti yang diukur dengan amaun rawatan yang digunakan (semua bukti berkualiti rendah). Kesan sampingan yang dilaporkan dalam kedua-dua kumpulan termasuk mengantuk, masalah berkaitan dengan kulit, isu pernafasan, dan sakit kepala.

Berbanding plasebo, fexofenadine 120 mg/d bagi orang dewasa selama satu minggu mungkin mengurangkan sedikit gatal yang dinilai oleh pesakit, serta menghasilkan pengurangan yang lebih besar dalam gatal yang dinilai oleh doktor, dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan peserta yang mengalami kesan sampingan (kebanyakannya mengantuk dan sakit kepala) atau di tahap rawatan yang diperlukan sebagai indikator bilangan eksaserbasi ekzema (semua bukti berkualiti sederhana).

Kami mendapati tiada bukti perbezaan antara plasebo dan loratadine 10 mg/d untuk orang dewasa selama empat minggu dalam gatal yang dinilai oleh pesakit, kejadian kesan sampingan, atau tanda-tanda ekzema yang dinilai oleh doktor (semua bukti berkualiti rendah). Kajian ini tidak mengukur jbilangan eksaserbasi ekzema. Penulis kajian melaporkan hanya satu kesan sampingan (folikulitis), yang berlaku dengan plasebo.

Hanya satu kajian mengukur kualiti hidup, tetapi hasilnya tidak dapat dianalisis.

Kualiti bukti

Untuk semua hasil dalam perbandingan utama, kepastian bukti adalah rendah sehingga sederhana. Sebab menurunkan kualiti bukti termasuk kebimbangan mengenai cara kajian dijalankan dan kemasukan peserta yang sedikit, yang membawa kepada hasil yang kurang tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information