Adakah pembedahan perforator endoskopik subfascial (pembedahan urat kaki) membantu menyembuhkan ulser vena kaki?

Apakah tujuan ulasan ini?

Pembedahan perforator endoskopik subfascial (SEPS) melibatkan pemotongan dan penutupan urat perforator yang rosak (salur darah yang menghubungkan urat dangkal dan dalam) di kaki. Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada SEPS boleh membantu menyembuhkan ulser vena kaki (luka kulit yang lambat sembuh disebabkan oleh aliran darah yang lemah melalui urat kaki). Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian rawak terkawal yang berkaitan (sejenis kajian di mana peserta ditugaskan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan melalui pengunaan kaedah rawak, yang memberikan bukti yang paling boleh dipercayai) untuk menjawab soalan ini dan mengenal pasti empat kajian untuk dimasukkan.

Mesej utama

Tidak pasti sama ada SEPS bermanfaat atau selamat sebagai rawatan untuk ulser vena kaki, kerana kepastian bukti yang dikumpul adalah rendah atau sangat rendah, dan kajian yang disertakan melibatkan sejumlah kecil peserta.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Ulser vena kaki adalah masalah kesihatan yang biasa dan mahal. Luka kronik ini selalunya mengambil masa berbulan-bulan untuk sembuh dan mempunyai peluang tinggi untuk berulang selepas sembuh. Ulser kaki vena boleh disebabkan oleh urat yang tidak berfungsi dengan baik, yang mengakibatkan darah mengalir ke arah yang salah antara urat dangkal dan dalam di kaki. Darah yang tidak mengalir dengan betul menyebabkan peningkatan tekanan dan keradangan, yang mengakibatkan kerosakan kulit dan ulser di bahagian bawah kaki. Pembedahan perforator endoskopik subfascial boleh menghalang darah daripada mengalir ke arah yang salah dengan memotong dan mengikat urat yang menghubungkan urat dangkal dan dalam. Tidak jelas sama ada SEPS lebih berkesan daripada pilihan rawatan lain seperti pembalut atau stoking mampatan, yang merupakan rawatan standard untuk ulser vena kaki. Oleh itu kami menyiasat sama ada teknik pembedahan ini boleh membantu ulser vena kaki sembuh dengan lebih cepat. Kami juga mempertimbangkan sama ada pembedahan ini mempunyai sebarang kesan sampingan, dan jika ia memberi kesan kepada kualiti hidup peserta kajian, pengalaman kesakitan, atau masa di hospital dan penjagaan kejururawatan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami sertakan empat kajian dalam ulasan yang bertarikh dari 1997 hingga 2011 dan membandingkan SEPS dengan rawatan lain untuk ulser vena kaki. Kajian ini melibatkan seramai 322 peserta, dalam lingkungan umur 30 hingga 82 tahun, dengan bilangan lelaki dan perempuan yang sama.

Dua kajian membandingkan SEPS dan stoking mampatan dengan mampatan sahaja; satu kajian membandingkan SEPS terhadap prosedur pembedahan Linton (sejenis pembedahan terbuka pada urat kaki); dan satu kajian membandingkan SEPS sebagai tambahan kepada pembedahan vena saphenous (pembedahan pada vena dangkal terbesar di kaki) berbanding pembedahan vena saphenous sahaja.

Kami membuat kesimpulan bahawa bukti tidak mencukupi untuk menentukan sama ada SEPS memberi hasil yang lebih baik, lebih teruk, atau sama dengan rawatan mampatan dari segi penyembuhan ulser. Mungkin terdapat manfaat SEPS dari segi kadar ulser yang sembuh pada 24 bulan, namun bukti ini berkepastian rendah. Oleh kerana kepastian bukti yang sangat rendah, adalah tidak jelas jika SEPS sebagai tambahan kepada pembedahan saphenous, atau berbanding dengan pendekatan Linton, membawa sebarang perbezaan dalam penyembuhan ulser vena kaki. Tiada kajian melaporkan tentang kualiti hidup, kesan sampingan yang serius atau keperluan penjagaan kejururawatan di rumah untuk peserta kajian.

Kesemua empat kajian adalah bersaiz kecil, dengan yang terbesar melibatkan 200 peserta, dan tiga kajian lain melaporkan 75 peserta atau kurang. Faktor ini, bersama dengan kaedah reka bentuk kajian yang lemah, bermakna bukti tentang peranan SEPS merawat ulser vena kaki mempunyai kepastian yang rendah atau sangat rendah. Oleh itu, masih tidak jelas sama ada SEPS bermanfaat atau selamat dalam rawatan ulser vena kaki, dan kajian berkualiti tinggi selanjutnya dengan saiz sampel yang lebih besar berkemungkinan mengubah kesimpulan ulasan ini.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Mac 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information