Ubat yang mensasarkan laluan PI3K/AKT/mTOR untuk kanser endometrium lanjutan, metastatik atau berulang

Apakah matlamat ulasan ini?
Untuk mengetahui sama ada ubat-ubatan yang merencat laluan PI3K/AKT/mTOR (dikenali sebagai perencat PI3K, AKT dan mTOR) dapat memperbaiki survival wanita yang didiagnosis dengan kanser endometrium lanjutan setempat (kanser yang telah merebak di luar rahim), metastatik atau berulang.

Mesej utama
Terdapat bukti kepastian rendah dari dua kajian klinikal tentang penggunaan ubat yang mensasarkan laluan PI3K/AKT/mTOR dalam kalangan wanita dengan kanser endometrium lanjutan, metastatik atau berulang. Berdasarkan bilangan kajian kecil yang lengkap, wanita yang telah menerima rawatan untuk kanser endometrium lanjutan atau berulang dan menerima perencat mTOR mungkin berisiko lebih rendah untuk progres berbanding mereka yang menerima terapi hormon/ kemoterapi sahaja. Walau bagaimanapun, dalam kalangan wanita yang menerima kemoterapi yang mengandungi perencat mTOR sebagai sebahagian daripada rawatan ketika pertama kali didiagnosis dengan penyakit lanjutan, rawatan yang mengandungi perencat mTOR mungkin mengakibatkan penyakit mereka progres lebih cepat dan meningkatkan komplikasi berbanding kemoterapi atau terapi hormon sahaja. Walaupun perencat mTOR mungkin mengubah berapa lama masa yang diperlukan untuk kanser progres, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan berapa lama wanita hidup selepas rawatan (dikenali sebagai survival keseluruhan). Kami menunggu penerbitan sekurang-kurangnya lima kajian yang mengkaji peranan perencat PI3K, AKT dan mTOR dalam kanser endometrium lanjutan atau berulang.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Rawatan untuk wanita dengan kanser endometrium metastatik atau berulang sering melibatkan radioterapi, kemoterapi, terapi endokrin atau gabungannya untuk mengecut atau melambatkan pertumbuhan kanser. Respon kanser kepada rawatan-rawatan tersebut adalah pelbagai, tetapi kebanyakannya sederhana. Rawatan baharu diperlukan untuk memperbaiki hasil. Laluan PI3K/AKT/mTOR di dalam sel kanser endometrium terlibat dalam pertumbuhan kanser endometrium, dan pelbagai ubat telah dibangunkan untuk mensasarkan laluan ini dengan tujuan untuk mengurangkan pertumbuhan sel-sel kanser endometrium. Ini dikenali sebagai perencat PI3K, AKT dan mTOR. Kami mendapati kajian-kajan relevan yang melihat kepada perencat mTOR. Perencat mTOR boleh diberikan secara tunggal atau bersama ubat rawatan kanser lain. Ia boleh diberi bersama kemoterapi atau terapi endokrin. Perencat mTOR bertindak menghalang sel-sel kanser daripada membahagi dan membiak. Peristiwa buruk termasuklah ulser di sepanjang saluran pencernaan (dikenali sebagai mucositis), keradangan tisu paru-paru (dikenali sebagai pneumonitis) dan jumlah sel darah merah yang rendah (anemia).

Kami memasukkan dua kajian yang merawak 361 wanita. Di dalam satu kajian, wanita menerima sama ada perencat mTOR (temsirolimus) dalam kombinasi dengan ubat kemoterapi lain, atau ubat kemoterapi yang sama tanpa perencat mTOR dan dengan terapi sasaran yang berlainan (bevacizumab). Ini diberikan sebagai sebahagian daripada rawatan utama mereka selepas diagnosis awal kanser endometrium lanjutan. Di dalam kajian kedua, wanita dengan penyakit berulang atau yang telah dirawat dengan kemoterapi sekurang-kurangnya sekali sebelum menerima perencat mTOR (ridaforolimus) sahaja, berbanding kemoterapi atau terapi hormon dan tiada perencat mTOR.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Bagi wanita yang menerima ubat perencat mTOR sebagai sebahagian daripada rawatan pertama mereka, mungkin terdapat risiko lebih tinggi penyakit bertambah teruk dengan perencat mTOR berbanding rawatan konvensional dan bevacizumab. Walau bagaimanapun, bagi wanita dengan penyakit berulang yang telah menerima kemoterapi sebelumnya, menerima ubat perencat mTOR boleh mengurangkan risiko penyakit menjadi bertambah buruk berbanding rawatan lanjutan kemoterapi atau hormon. Keputusan ini hanya berdasarkan satu kajian sahaja dalam setiap tetapan rawatan.

Terdapat kesan sampingan dari perencat mTOR. Wanita lebih mungkin mengalami ulser di saluran pencernaan dengan perencat MTOR berbanding wanita yang menerima rawatan tanpa ubat-ubat ini. Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar keradangan paru-paru atau anemia dalam kalangan mereka yang menerima perencat mTOR dengan mereka yang tidak, walaupun kami hanya ada bukti kepastian rendah tentang hasil ini. Tiada kajian yang melaporkan maklumat kualiti hidup.

Terdapat lima kajian klinikal terkini yang merekrut wanita. Kami harap dapat memberi jawapan yang lebih jelas di dalam kemas kini ulasan seterusnya, sebaik sahaja data tersebut tersedia.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save