Gel dekstrosa oral untuk mencegah paras glukosa darah rendah dalam bayi baru lahir

Apakah isunya?

Paras glukosa darah yang rendah adalah lazim dalam kalangan bayi baru lahir. Sehingga 15 dari setiap 100 bayi akan mempunyai paras glukosa darah rendah, dan dalam kalangan sesetengah bayi yang berisiko tinggi (bayi yang lahir pramatang, atau lebih kecil atau lebih besar daripada kebanyakan bayi lain, atau ibu yang menghidap diabetes), sebanyak separuh akan mempunyai paras glukosa darah rendah beberapa hari pertama selepas lahir.

Mengapakah ini penting?

Paras glukosa darah rendah boleh menyebabkan masalah dalam pencapaian akademik dan perkembangan semasa zaman kanak-kanak. Adalah mungkin hanya satu paras rendah cukup untuk menyumbang kepada masalah-masalah ini dalam sesetengah bayi. Oleh itu, pencegahan paras glukosa darah rendah adalah berfaedah. Tambahan pula, rawatan untuk paras glukosa darah rendah sering melibatkan susu formula atau kemasukan ke unit neonatal, menyebabkan pemisahan antara ibu dan bayi, dan kedua-dua pendekatan ini boleh mengganggu penyusuan susu ibu.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Semasa carian kemaskini sehingga Januari 2017, kami mendapati satu kajian (dengan risiko bias rendah) yang membandingkan gel dekstrosa oral dengan plasebo untuk pencegahan paras glukosa darah rendah dalam 415 bayi yang berisiko. Bukti daripada kajian tunggal ini menunjukkan dalam bayi yang berisiko, gel dekstrosa oral diikuti oleh susuan dikaitkan dengan pengurangan risiko paras glukosa darah rendah berbanding plasebo (bukti berkualiti tinggi). Keputusan menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan secara statistik di antara gel dekstrosa oral dan plasebo dari segi peristiwa buruk (bukti berkualiti sederhana), risiko pemisahan bayi dari ibu untuk rawatan paras glukosa rendah (bukti berkualiti sederhana), penyusuan susu ibu eksklusif semasa discaj (bukti berkualiti sederhana), atau penerusan penyusuan susu ibu pada usia enam minggu (bukti berkualiti sederhana). Kami mesti berhati-hati ketika mentafsirkan bukti bagi peristiwa buruk dan pemisahan antara ibu dan bayi, kerana sebilangan kecil peristiwa telah dilaporkan bagi hasil-hasil ini. Para penyelidik tidak memberi data mengenai hasil jangka panjang termasuklah hasil perkembangan dan ketidakupayaan.

Apakah maksudnya?

Bukti sedia ada hanyalah dari satu kajian, dan tiada data hasil jangka panjang dilaporkan. Tambahan pula, kajian ini hanya membandingkan gel dekstrosa oral dengan plasebo dan tidak mengambil kira langkah-langkah lain yang berpotensi mencegah hipoglisemia. Oleh itu, pada masa kini, tiada cukup bukti untuk menyokong penggunaan rutin gel dekstrosa oral bagi mencegah hipoglisemia dalam bayi baru lahir yang berisiko. Susulan zaman kanak-kanak bagi kajian tunggal yang dimasukkan ini sedang dijalankan, dan satu kajian tambahan sedang berlansung untuk menentukan kesan gel dekstrosa oral dalam mencegah kemasukan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU). Kami menasihatkan untuk menunggu data hasil kajian-kajian tambahan ini untuk menilai keselamatan jangka panjang dan keberkesanan gel dekstrosa oral bagi pencegahan hipoglisemia neonatal

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Huey Fern (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi hueyfern_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save