Soalan ulasan
Adakah gel dekstrosa oral berkesan dan selamat dalam mencegah paras glukosa darah rendah dan mengurangkan ketidakupayaan jangka panjang dalam kalangan bayi baru lahir yang berisiko paras glukosa darah rendah?
Latar belakang
Paras gula (glukosa) rendah dalam darah adalah penting kerana ia adalah lazim dan dikaitkan dengan kecederaan otak dalam kalangan bayi baru lahir. Seramai 15 daripada setiap 100 bayi akan mempunyai paras glukosa darah yang rendah dalam beberapa hari pertama selepas lahir dan sebanyak separuh daripada bayi yang berisiko lebih tinggi (mereka yang dilahirkan pramasa atau lebih kecil atau lebih besar dari biasa, atau ibu mereka menghidap diabetes).
Paras glukosa darah rendah boleh menyebabkan masalah pencapaian akademik dan perkembangan semasa zaman kanak-kanak. Terdapat bukti yang menunjukkan hanya satu episod glukosa darah rendah atau episod yang tidak dikesan boleh menyumbang kepada masalah ini. Oleh itu, adalah berguna untuk mengelakkan kejadian paras glukosa rendah. Tambahan juga, rawatan untuk paras glukosa rendah selalunya termasuk susu formula atau kemasukan ke unit neonatal, yang membawa kepada pengasingan ibu dan bayi. Rawatan dan pengasingan boleh menjejaskan penyusuan susu ibu.
Gel dekstrosa (gula) boleh disapu pada bahagian dalam mulut bayi, di mana gula boleh diserap dan membantu meningkatkan paras glukosa darah, sekaligus berpotensi membantu mencegah paras glukosa rendah.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenalpasti dua kajian di negara berpendapatan tinggi yang membandingkan gel dekstrosa oral dengan gel plasebo (tidak aktif) untuk mencegah paras glukosa darah rendah dalam kalangan 2548 bayi berisiko. Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Oktober 2020.
Keputusan utama
Dua kajian menunjukkan gel dekstrosa oral pencegahan mengurangkan risiko paras glukosa darah rendah dalam kalangan bayi baru lahir yang berisiko. Satu kajian tunggal melaporkan hasil dua tahun dalam kalangan 360 bayi mendapati gel dekstrosa oral yang diberi kepada bayi berisiko untuk mencegah paras glukosa darah rendah mungkin mengurangkan risiko kecacatan major pada usia dua tahun, tetapi kajian susulan tambahan diperlukan.
Dua kajian menunjukkan gel dekstrosa oral mungkin mengurangkan peluang untuk menerima sebarang rawatan bagi glukosa darah rendah semasa awal berada di hospital tetapi ini memberi sedikit atau tiada perbezaan peluang menerima rawatan intravena untuk glukosa rendah, atau pengasingan daripada ibu untuk rawatan glukosa rendah.
Bukti daripada dua kajian menunjukkan bayi yang diberi gel dekstrosa oral tidak berisiko lebih tinggi untuk mengalami kejadian buruk (mudarat) seperti tercekik atau muntah berbanding bayi yang diberi gel plasebo, tetapi tiada maklumat untuk menilai sama ada gel dekstrosa oral lebih selamat daripada tiada rawatan atau terapi lain. Tiada data tersedia tentang penyusuan susu ibu secara eksklusif selepas discaj.
Kami menilai risiko bias dalam kajian-kajian yang disertakan sebagai rendah, bermakna tidak mungkin terdapat ralat sistematik dalam anggaran kesan intervensi.
Penyelidikan masa depan harus dibuat di negara berpendapatan rendah dan sederhana, dalam kalangan bayi pramasa menggunakan penyediaan gel dextrose dan pembanding lain selain gel plasebo. Terdapat tiga kajian yang sedang menunggu klasifikasi dan satu kajian yang sedang berlangsung yang mungkin mengubah kesimpulan ulasan ini apabila ia diterbitkan.
Kepastian bukti
Kami menilai kepastian bukti sebagai sederhana untuk semua hasil kecuali risiko paras glukosa darah rendah (dinilai sebagai kepastian tinggi) dan perpisahan daripada ibu (dinilai sebagai kepastian rendah).
Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my