Profilaksis antibiotik rutin selepas kelahiran vagina normal untuk mengurangkan jangkitan ibu

Apakah isunya?

Jangkitan yang berlaku semasa bersalin boleh mengakibatkan ibu kurang sihat dengan ketara dan juga kematian ibu atau bayinya. Risiko jangkitan dipercayai lebih tinggi untuk kelahiran dalam kemudahan penjagaan kesihatan di persekitaran sumber rendah berbanding persekitaran sumber baik, disebabkan oleh keadaan kebersihan yang tidak baik, sistem air dan sanitasi yang tidak mencukupi, kesesakan dan nisbah profesional kepada pesakit yang rendah. Preskripsi antibiotik selepas kelahiran vagina yang tidak rumit telah menjadi amalan rutin untuk mengatasi situasi ini di dalam beberapa persekitaran sumber rendah.

Mengapakah ini penting?

Menghadapi rintangan antimikrobial yang semakin meningkat kerana penyalahgunaan dan terlebih preskripsi antibiotik, kami memerlukan bukti tentang kesan pengambilan antibiotik rutin untuk mencegah jangkitan selepas kelahiran vagina biasa tanpa komplikasi.

Apakah bukit yang kami perolehi?

Ulasan ini menilai sama ada rawatan antibiotik rutin selepas kelahiran vagina yang tidak rumit, berbanding dengan plasebo atau tiada antibiotik, mencegah jangkitan ibu. Kami mencari bukti pada Ogos 2017 dalam tiga pangkalan data. Kami mengenal pasti tiga kajian melibatkan 1779 wanita. Kualiti bukti adalah rendah ke sangat rendah. Pelbagai antibiotik diberikan dalam tiga kajian tersebut dan untuk jangka masa yang berlainan. Kajian berlaku pada 1960-an (satu kajian) dan 1990-an (dua kajian), dan dilaksanakan di Perancis, AS dan Brazil.

Pemberian antibiotik rutin mengurangkan bilangan wanita dengan jangkitan lapisan uterus (endometritis) (2 kajian, 1364 wanita) sebanyak 70%. Penggunaan antibiotik tidak mengurangkan insiden jangkitan saluran kencing (2 kajian, 1706 wanita), jangkitan luka selepas episiotomi (2 kajian, 1364 wanita) atau tempoh inap ibu di hospital (1 kajian, 1291 wanita).

Tiada perbezaan di antara kumpulan untuk ruam kulit akibat antibiotik, di mana ia dilaporkan dalam satu wanita bagi setiap kajian (1706 wanita). Kos penjagaan adalah lebih tinggi dalam kumpulan yang tidak menerima profilaksis antibiotik. Insiden jangkitan dan penyakit ibu yang teruk, rintangan antimikrobial atau kepuasan wanita dengan penjagaan tidak ditangani.

Apakah maksudnya?

Bilangan kajian yang kecil mengehadkan tafsiran bukti untuk penggunaan antibiotik rutin selepas kelahiran vagina normal. Insiden endometritis yang rendah dalam kajian-kajian tersebut mencadangkan sejumlah besar wanita mungkin perlu dirawat untuk mengelakkan beberapa kes jangkitan.

Perlu ada keseimbangan di antara keperluan wanita, persekitaran kelahiran dan pengalaman penyedia (misalnya, dengan pemeriksaan vagina atau intervensi yang kerap) dan ancaman kesihatan umum terhadap rintangan antibiotik.

Penyelidikan lanjut kajian rawak terkawal yang direka dengan baik akan membantu menilai nilai tambah pemberian antibiotik rutin kepada wanita selepas kelahiran vagina normal untuk mencegah jangkitan ibu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information