Jahitan di bawah kulit untuk menutup luka selepas pembedahan

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada jahitan subkutikular (jahitan di bawah kulit) berkesan untuk menutup luka selepas pembedahan. Kami berminat dengan semua jenis pembedahan kecuali pembedahan obstetrik (pembedahan yang berkaitan dengan melahirkan anak, contohnya pembedahan caesarean). Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan dan mendapati 66 kajian rawak terkawal yang relevan untuk menjawab soalan ini. Kajian rawak terkawal adalah kajian perubatan di mana pesakit dipilih secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza. Kajian jenis ini memberikan bukti perubatan yang paling dipercayai.

Mesej utama

Dari segi jangkitan luka selepas pembedahan, tidak ada perbezaan yang jelas antara jahitan di bawah kulit dan kaedah lain untuk menutup luka pembedahan, seperti mana jahitan biasa yang melintasi kulit, pita pembedahan, dawai kokot, atau gam. Jahitan yang di bawah kulit mungkin mengurangkan komplikasi luka berbanding dengan dawai kokot dan meningkatkan kepuasan pesakit berbanding dengan jahitan yang melintasi kulit atau dawai kokot. Walau bagaimanapun, gam boleh meningkatkan kepuasan pesakit, dan jahitan yang melintasi kulit dan dawai kokot mungkin lebih cepat untuk pakar bedah.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Pakar bedah mempunyai pelbagai pilihan untuk menutup luka pembedahan. Penutupan kulit boleh dilakukan dengan jahitan di bawah kulit, jahitan yang melintasi kulit, dawai kokot (klip), pelekat tisu (gam), pita atau kaedah yang lain. Jahitan boleh diserap (jahitan larut ke dalam tubuh sebagai sebahagian dari proses penyembuhan dan tidak perlu dikeluarkan) atau tidak boleh diserap (jahitan perlu dikeluarkan setelah luka sembuh).

Jangkitan di tapak pembedahan adalah masalah biasa selepas pembedahan dan boleh mengakibatkan pelbagai masalah bagi pesakit. Luka pembedahan juga boleh menyebabkan bekas luka yang tidak sedap dipandang jika tidak sembuh dengan betul. Kami ingin mengetahui bagaimana jahitan yang terdapat di bawah kulit berbanding dengan kaedah lain untuk menutup luka pembedahan dari segi jangkitan, parut, kepuasan pesakit, kos, kesakitan, tempoh pesakit tinggal di hospital dan kualiti hidup.

Apakah keputusan utama daripada ulasan ini?

Pada bulan Mac 2019, kami menyiasat pangkalan data perubatan dan mengenal pasti 66 kajian yang membandingkan jahitan di bawah kulit dengan kaedah penutupan kulit yang lain seperti jahitan standard, dawai kokot kulit, pelekat tisu, pita, atau zip pembedahan. Enam puluh empat kajian (yang melibatkan 7487 peserta) digunakan dalam analisa kami. Secara purata, setiap kajian melibatkan 115 orang. Kebanyakan peserta adalah orang dewasa (20 sehingga 75 tahun) yang menjalani pembedahan di hospital. Kebanyakan kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan mereka.

Sebilangan besar kajian membandingkan jahitan yang berada di bawah kulit dengan jahitan standard, dawai kokot kulit atau pelekat tisu.

Hasil utama yang diminati adalah sama ada luka dijangkiti. Tidak ada perbezaan yang jelas antara jahitan yang berada di bawah kulit dan kaedah penutupan lain di kalangan pesakit yang mana luka mereka dijangkiti.

Berbanding dengan jahitan yang melintasi kulit, jahitan di bawah kulit mungkin meningkatkan kepuasan pesakit. Terdapat bukti bahawa jahitan di bawah kulit mungkin mencegah komplikasi luka dan meningkatkan kepuasan pesakit berbanding dengan dawai kokot kulit. Jahitan di bawah kulit mungkin boleh mencegah kerosakan luka (pemisahan kulit) dibandingkan dengan dawai kokot atau pelekat tisu, tetapi pelekat tisu dapat meningkatkan kepuasan pesakit. Walau bagaimanapun, kaedah alternatif mungkin lebih cepat digunakan oleh pakar bedah berbanding dengan jahitan di bawah kulit. Tidak ada perbezaan yang jelas antara jahitan di bawah kulit dan kaedah penutupan alternatif untuk penutupan semula, kesakitan, tempoh pesakit tinggal di hospital dan kualiti hidup.

Kajian yang kami analisa sering melibatkan sebilangan kecil peserta dan, dalam kebanyakan kes, tidak dilaporkan dengan cara yang membolehkan kami untuk memastikan bahawa kajian ini dilakukan secara berpatutan. Oleh itu, kita tidak dapat membuat pernyataan konklusif mengenai keberkesanan jahitan di bawah kulit, dan untuk semua perbandingan kecuali perbandingan dengan dawai kokot, penyelidikan berkualiti yang lebih baik diperlukan untuk membuat kesimpulan yang lebih kuat.

Sejauh manakah ulasan ini dikemaskini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Mac 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information