Dua teknik pembedahan untuk pemindahan kornea (menggantikan bahagian mata yang jelas dengan tisu penderma)

Apakah matlamat utama ulasan ini?
Matlamat Kajian Cochrane ini adalah untuk membandingkan dua cara yang berbeza untuk melakukan pembedahan pemindahan kornea: Keratoplasti endothelial membran Descemet (DMEK) dan pelucutan keratoplasti endothelial automatik (DSAEK) Descemet Penyelidik Ulasan Cochrane telah mengumpul dan menganalisa semua kajian berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menjumpai empat kajian.

Mesej utama
DMEK boleh menghasilkan penglihatan yang lebih baik berbanding DSAEK. DMEK mungkin dikaitkan dengan lebih banyak komplikasi tetapi komplikasi ini jarang berlaku dan boleh diuruskan tanpa pembedahan lanjut.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Kornea adalah bahagian depan mata yang kelihatan lutsinar. Dalam sesetengah keadaan, sebagai contoh, distrofi endothelial Fuch, sel-sel yang melapisi bahagian dalam kornea (endothelium) berhenti berfungsi dengan baik. Ini boleh menyebabkan penglihatan kabur. Doktor boleh memulihkan penglihatan dengan melakukan pemindahan kornea melalui penggantian tisu kornea dengan tisu penderma. Apabila endothelium sahaja yang digantikan, ini dikenali sebagai 'Descemet's membrane endothelial keratoplasty' atau DMEK. Pemindahan kornea alternatif adalah untuk menggantikan endothelium dan juga lapisan tisu seterusnya dalam kornea. Ini dikenali sebagai 'keratoplasti endothelial automatik Descemet' atau DSAEK.

Pengarang Ulasan Cochrane ingin mengetahui sama ada penglihatan menjadi lebih baik selepas DMEK atau DSAEK, dan perbandingan teknik berkenaan dengan komplikasi pembedahan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Pengarang Ulasan Cochrane menjumpai empat kajian yang relevan. Kajian ini termasuk individu yang mempunyai DSAEK pada mata pertama yang menerima pemindahan kornea diikuti oleh DMEK pada mata kedua yang menerima pemindahan. Kajian adalah dari Kanada, Jerman, India dan Amerika Syarikat. Tiada satu pun daripada kajian itu dibiaya oleh penaja yang mempunyai minat komersial.

Pengarang Ulasan Cochrane menilai bukti sebagai kepastian rendah atau sangat rendah kerana mungkin terdapat perbezaan antara pembedahan mata pertama dan mata kedua (selain DMEK atau DSAEK) dan, dalam beberapa kes, data adalah terhad atau tidak konsisten.

Walau bagaimanapun, keputusan adalah:

• DMEK boleh menghasilkan penglihatan yang lebih baik berbanding DSAEK (bukti kepastian rendah). Perbezaan ini bersamaan dengan membaca satu atau dua baris pada carta penglihatan.

• Tiada seseorang pun daripada individu yang mengambil bahagian dalam kajian ini mengalami kehilangan penglihatan yang teruk selepas pembedahan. Kehilangan penglihatan yang teruk ditakrifkan sebagai penglihatan lebih teruk daripada 6/60 atau 20/200. Tiada cukup individu yang mendaftar dalam kajian ini untuk mengukur dengan pasti dapatan yang jarang berlaku ini (bukti kepastian yang sangat rendah).

• Kajian mengukur bilangan sel yang terdapat dalam endothelium selepas pembedahan tetapi mendapati keputusan yang tidak konsisten (bukti kepastian yang sangat rendah).

• Hampir semua orang yang mengambil bahagian dalam kajian mempunyai kemandirian yang baik, dengan penolakan yang sangat sedikit dan tiada kegagalan. Tiada cukup individu yang mendaftar dalam kajian ini untuk mengukur dengan pasti hasil yang jarang berlaku ini (bukti kepastian yang sangat rendah).

• DMEK mungkin dikaitkan dengan komplikasi pembedahan yang lebih awal. Dislokasi cantuman mungkin berlaku dalam satu atau dua daripada 100 individu dengan DSAEK dan kira-kira lima kali lebih kerap dengan DMEK. Perbezaan ini tidak diukur dengan pasti dan boleh menjadi lebih kecil atau lebih besar (bukti kepastian yang sangat rendah). Dislokasi cantuman berlaku dalam beberapa hari atau minggu selepas pembedahan dan biasanya dirawat dengan suntikan udara ke dalam mata ('re-bubbling').

Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Pengarang Ulasan Cochrane mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Ogos 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information