Manfaat dan mudarat celecoxib untuk merawat penghidap artritis reumatoid

Soalan ulasan

Kami bertujuan menilai manfaat (penambahbaikan sakit dan kekakuan, fungsi fizikal) dan mudarat (masalah usus dan jantung) dengan penggunaan Celecoxib berbanding ubat lain yang hampir sama atau ubat tiruan (plasebo) dalam kalangan orang dewasa dengan artritis reumatoid.

Latar belakang

Artritis reumatoid adalah penyakit autoimun yang menyebabkan keradangan lapisan sendi-sendi, membuatkannya sakit, kaku dan bengkak. Sendi-sendi kecil pada tangan dan kaki sering dipengaruhi dahulu. Pada masa ini, tidak ada penawar; rawatan hanya bertujuan untuk mencapai pengurangan atau melambatkan progressi penyakit bagi menambahbaik mobiliti dan mengurangkan sakit, bengkak dan kekakuan. Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) digunakan untuk merawat pesakit artritis reumatoid. Celecoxib adalah NSAID terpilih yang mungkin membantu melegakan gejala-gejala artritis reumatoid.

Tarikh carian

Kami mencari bukti sehingga 18 Mei 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lapan kajian yang diterbitkan di antara tahun 1998 hingga 2014 yang melibatkan 3988 orang dewasa (purata umur 54 tahun), kebanyakannya terdiri daripada wanita (73%). Secara purata, mereka telah menghidap penyakit artritis reumatoid selama 9.2 tahun.

Kajian-kajian membandingkan Celecoxib dengan rawatan lain; 1786 peserta menerima Celecoxib dan 2202 menerima sama ada plasebo atau NSAID tradisional (tNSAID).

Lima kajian mendapat sokongan atau dana dari syarikat farmaseutikal.

Keputusan utama

Berbanding plasebo, untuk setiap 100 orang yang menerima Celecoxib, 15 orang menunjukkan penambahbaikan gejala selepas 4 hingga 12 minggu. Mereka yang mengambil Celecoxib menilai sakit yang dialami sebanyak 11 mata lebih rendah (pada skala 0 hingga 100) selepas 12 minggu.

Keputusan kajian adalah tidak meyakinkan dalam penambahbaikan fungsi fizikal dan bilangan orang yang mendapat ulser gastroduodenum melebihi 3mm diameter apabila dibandingkan di antara Celecoxib dan plasebo. Bukti juga tidak meyakinkan tentang mudarat yang berlaku sejurus selepas penggunaan ubat-ubatan tersebut. Tiada kajian yang membandingkan Celecoxib dan plasebo melaporkan serangan jantung atau strok.

Keputusan mengenai penambahbaikan sakit dan fungsi fizikal juga tidak meyakinkan apabila Celecoxib dibandingkan dengan tNSAID. Penambahbaikan yang kecil didapati berkaitan dengan sistem skor (ACR20) yang diguna oleh doktor untuk menilai pesakit artritis reumatoid. Bagi setiap 100 orang yang mengambil Celecoxi: terdapat kurang dari 13 orang yang mendapat ulser gastroduodenum melebihi 3mm diameter: dan kurang dari 7 orang yang menarik diri daripada kajian berbanding mereka yang mengambil tNSAID.

Celecoxib mungkin menambahbaik gejala artritis reumatoid dan mengurangkan sakit berbanding plasebo, tetapi mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam menambahbaik fungsi fizikal.

Kualiti bukti

Bukti dinilai sebagai berkualiti sederhana atau rendah kerana kelemahan metodologi kajian dan beberapa kejadian yang menunjukkan mudarat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Nor Arifin (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wnarifin@usm.my.

Tools
Information
Share/Save