Ultrasound untuk pengesahan penempatan tiub gastrik

Latar belakang

Setiap tahun kira-kira satu juta orang menerima tiub makanan (tiub gastrik) di AS. Tiub gastrik biasanya digunakan untuk memberi ubat dan makanan terus ke saluran gastrointestinal (tiub yang mencerna makanan) untuk orang yang tidak dapat menelan. Memberi makan melalui tiub yang salah letak di trakea (saluran pernafasan) boleh mengakibatkan radang paru-paru yang teruk (jangkitan paru-paru). Oleh itu, pengesahan penempatan tiub di perut selepas penyisipan tiub adalah penting. Tiub gastrik juga digunakan untuk mengurangkan tekanan perut setelah memberikan bantuan pernafasan melalui topeng, yang biasa digunakan dalam resusitasi. Ultrasound perubatan adalah salah satu teknik pengimejan diagnostik yang menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej dalam badan. Kajian terbaru menunjukkan bahawa ultrasound memberikan ketepatan diagnostik yang baik dalam pengesahan penempatan tiub yang sesuai. Oleh itu, ultrasound berpotensi menjadi alternatif kepada sinar-X dalam mengesahkan penempatan tiub, terutama di mana kemudahan sinar-X tidak tersedia atau sukar diakses.

Ciri-ciri kajian

Kajian yang disertakan dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Mac 2016. Kami memasukkan 10 kajian yang melibatkan 545 peserta untuk penilaian ketepatan diagnostik ultrasound bagi pengesahan penempatan tiub gastrik.

Keputusan-keputusan utama

Sebilangan besar kajian menunjukkan prestasi yang baik untuk penempatan tiub yang betul. Walau bagaimanapun, hanya sedikit data yang tersedia untuk penempatan tiub yang salah dan kemungkinan komplikasi akibat perletakan tiub yang tidak betul. Antara kajian yang disertakan, hanya 43 peserta yang mengalami perletakan tiub yang tidak betul. Tidak ada kajian yang melaporkan komplikasi semasa penggunaan ultrasound. Tiga kaedah ultrasound dilaporkan: pendekatan leher, pendekatan abdomen atas (perut) dan gabungan keduanya. Tidak ada kajian yang dimasukkan yang menunjukkan bahawa ultrasound mempunyai ketepatan yang mencukupi sebagai satu ujian tunggal untuk pengesahan penempatan tiub gastrik untuk memberi makan. Sebaliknya, ultrasound digabungkan dengan ujian lain (misalnya visualisasi saline flush (mendorong larutan garam melalui tiub dan melihatnya di dalam perut melalui ultrasound)) mungkin berguna untuk pengesahan tiub yang digunakan untuk saluran gastrik.

Batasan ulasan ini

Secara amnya, kajian ini mempunyai kualiti metodologi yang rendah atau tidak jelas. Kami menganggap hanya tiga (30%) dari 10 kajian yang dimasukkan mewakili pesakit dalam amalan kerana mereka melakukan ultrasound setelah mereka mengesahkan kedudukan yang betul dengan kaedah lain. Kajian melaporkan pelbagai hasil untuk penempatan tiub yang salah.

Penyelidikan masa depan

Kajian yang lebih besar adalah diperlukan untuk menyiasat sama ada ultrasound dapat menggantikan sinar-X untuk mengesahkan penempatan tiub gastrik, dan juga sama ada ultrasound dapat mengurangkan komplikasi teruk, seperti radang paru-paru, dari perletakan tiub yang salah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information