Ini adalah versi kemaskini Ulasan Cochrane terbitan terdahulu dalam isu 12, 2016 dari Pengkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane.
Latar belakang
Epilepsi merupakan gangguan sistem saraf di mana pelepasan discaj elektrik yang tidak normal daripada otak menyebabkan sawan yang berulang (konvulsi fizikal atau gangguan pemikiran atau kombinasi simptom-simptom sedemikian). Pengulas mengkaji dua jenis sawan epilepsi di dalam ulasan ini: sawan permulaan umum, di mana discaj elektrik bermula di satu bahagian otak dan bergerak ke seluruh otak; dan sawan permulaan fokal, (juga dikenali sebagai permulaan sawan sebahagian) di mana sawan bermula dan memberi kesan ke bahagian otak yang sama. Sawan fokal boleh menjadi umum (generalisasi sekunder), dan bergerak dari satu bahagian otak ke seluruh otak. Sehingga 70% daripada individu dengan epilepsi aktif mempunyai potensi untuk remisi jangka panjang tidak lama selepas memulakan terapi ubat dan sekitar 70% daripada individu ini boleh mencapai bebas sawan menggunakan satu ubat antiepilepsi.
Kajian ini diaplikasikan terhadap orang sawan fokal (dengan atau tanpa generalisasi sekunder) dan orang dengan sawan tonus-klonus, sejenis sawan umum yang khusus, kerana rawatan yang disyorkan untuk jenis sawan ini adalah sama.
Objektif
Topiramate dan carbamezepine adalah rawatan yang biasa digunakan untuk indvidu dengan epilepsi. Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan keberkesanan ubat-ubatan ini untuk mengawal sawan yang baru didiagnosis, sama ada ia dikaitkan dengan kesan sampingan yang boleh menyebabkan individu menghentikan pengambilian ubat, dan memaklumkan pilihan antara ubat-ubatan ini.
Kaedah
Pengulas menilai bukti daripada tiga kajian klinikal yang membandingkan topiramate dengan carbamezepine. Pengulas dapat menggabungkan data untuk 1151 orang daripada dua kajian; mereka tidak dapat menggunakan data daripada percubaan selebihnya, yang melibatkan 88 peserta.
Keputusan
Kebanyakan (81%) orang yang terlibat di dalam dua kajian tersebut mengalami sawan fokal, oleh itu keputusan ulasan terutamanya diaplikasikan untuk individu dengan sawan jenis ini. Kebanyakkan daripadi baki 19% orang mengalami jenis sawan yang sukar untuk dikelaskan sebagai fokal atau umum (sawan tidak terkelas). Jika dipertimbangkan hanya orang yang mempunyai sawan fokal, keputusan menunjukkan bahawa mereka yang mengambil caramazepine lebih cenderung untuk mengambil rawatan mereka lebih lama dan mencapai remisi dalam tempoh 12 bulan lebih awal daripada yang mengambil topiramate. Tiada perbezaan yang ditemui antara ubat-ubatan dalam kalangan individu dengan permulaan umum atau epilepsi yang tidak terkelaskan.
Kesan sampingan yang paling biasa dilaporkan oleh peserta semasa kajian adalah keletihan, 'pin dan jarum' (sensasi kebas), sakit kepala, masalah gastrousus dan keresahan atau kemurungan. Kesan-kesan sampingan tersebut dilaporkan dalam bilangan yang sama oleh orang yang mengambil topiramate atau carbamazepine.
Kepastian bukti
Bagi orang yang mempunyai sawan permulaan fokal, pengulas menilai kepastian bukti sebagai sederhana hingga tinggi. Reka bentuk kajian ( sama ada orang dan doktor yang merawat mengetahui ubat mana yang diambil) mungkin telah mempengaruhi tempoh peserta kekal dalam rawatan mereka. Bagi sebilangan kecil orang yang mempunyai sawan permulaan umum atau sawan yang tidak terkelaskan, pengulas menilai kepastian bukti sebagai rendah hingga sederhana. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2018.
Kesimpulan
Carbamazepine kini disyorkan oleh pakar-pakar untuk rawatan individu yang baru didiagnosis dengan sawan permulaan fokal dan keputusan ulasan ini tidak memberikan sebarang bukti untuk menyangkal amalan ini. Maklumat lanjut diperlukan untuk orang dengan sawan permulaan umum atau sawan tidak terkelaskan. Semua kajian masa depan yang membandingkan ubat-ubatan ini atau ubat-ubatan antiepileptik yang lain harus direkabentuk menggunakan kaedah yang berkualiti tinggi, dan jenis sawan yag dihidapi oleh orang yang menyertai kajian harus dikelaskan dengan teliti untuk memastikan keputusan yang berkualiti tinggi.
Diterjemahkan oleh Manisha Coran (RCSI-UCD Malaysian Campus ). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi manisha@ms.pmc.edu.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my)