Intervensi bagj meningkatkan kehadiran saringan retinopati diabetes

Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat kajian ini adalah untuk mengetahui jika intervensi yang diguna untuk memperbaiki kehadiran saringan retinopati diabetes adalah berkesan.

Mesej utama
Keputusan ulasan ini menemui bukti bahawa intervensi yang menyasarkan pesakit, profesional penjagaan kesihatan atau sistem penjagaan kesihatan mungkin berkesan untuk memperbaiki kehadiran saringan retinopati diabetes berbanding dengan penjagaan biasa. Kami mendapati manfaat bagi intervensi yang khusus untuk saringan retinopati diabetes, serta intervensi yang merupakan sebahagian daripada strategi umum untuk memperbaiki penjagaan diabetes. Ini adalah penting, kerana strategi yang lebih umum dikaitkan dengan manfaat tambahan, seperti memperbaiki kawalan glukosa darah dan meningkatkan pengesanan komplikasi lain yang berkait dengan diabetes.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Orang dengan diabetes mungkin hilang penglihatan akibat kesan penyakit yang merosakkan salur darah kecil di belakang mata (retinopati diabetik). Saringan retinopati diabetik untuk mengesan dan merawat tanda-tanda awal dapat mencegah kehilangan penglihatan. Walau bagaimanapun, kehadiran saringan adalah berubah-bah dan perubahan yang mengancam penglihatan mungkin tidak dapat dikesan pada masa yang tepat.

Ulasan ini melihat pelbagai intervensi untuk meningkatkan saringan retinopati diabetik.

Apakah keputusan utama ulasan?
Penulis ulasan Cochrane mendapati 66 kajian yang relevan. Empat puluh satu kajian adalah dari AS, 14 dari Eropah, tiga dari Kanada, tiga dari Australia dan lima dari tempat lain. Lima puluh enam kajian membandingkan intervensi untuk meningkatkan kehadiran saringan dengan penjagaan biasa dan 10 membandingkan intervensi yang lebih intensif dengan intervensi yang kurang intensif.

Kami mendapati bahawa intervensi terhadap pesakit atau profesional penjagaan kesihatan atau kedua-duanya, atau dalam sistem penjagaan kesihatan adalah berkesan untuk memperbaiki kehadiran saringan. Intervensi yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti penjagaan diabetes secara umum sama berkesan seperti intervensi khusus untuk memperbaiki saringan retinopati. Secara puratanya, kehadiran meningkat sebanyak 12% berbanding dengan tanpa intervensi.

Adakah ulasan ini terkini?
Penulis ulasan Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 13 Februari 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save