Soalan ulasan
Adakah menambahkan Coriolus kepada rawatan kanser kolorektal (usus) dapat mengurangkan kesan sampingan dan meningkatkan kemandirian?
Latar belakang
Radioterapi dan kemoterapi digunakan untuk merawat kanser kolorektal tetapi kesan sampingan dua rawatan ini boleh menjadi masalah. Cendawan Coriolus versicolor (juga dikenali sebagai Trametes versicolor atau 'Turkey Tail') dan ekstraknya telah digunakan oleh pesakit kanser untuk membantu mengurangkan kesan sampingan.
Tarikh carian
Kami telah mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang membandingkan Coriolus tambahan kepada kemoterapi atau radioterapi dengan kemoterapi atau radioterapi sahaja pada orang dewasa (berumur 18 tahun atau lebih). Bukti adalah terkini sehingga April 2022.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan tujuh kajian dengan seramai 1569 peserta yang terdiri daripada lelaki dan wanita dengan kanser peringkat 2 hingga 4. Enam kajian telah dijalankan di Jepun dan satu kajian telah dijalankan di China. Kajian mengukur perubahan dalam kelangsungan hidup, kekerapan kesan sampingan dan perubahan kepada rawatan disebabkan oleh kesan sampingan. Satu kajian melaporkan tentang kualiti hidup. Semua kajian menggunakan ekstrak Coriolus yang dikenali sebagai Polysaccharide-Krestin (PSK).
Sumber pembiayaan kajian
Tiada kajian melaporkan sebarang maklumat mengenai dana.
Keputusan utama
Kami menemui bahawa tidak jelas sama ada penambahan Coriolus memberi sebarang perbezaan kepada bilangan pesakit yang rawatan standard terpaksa diberhentikan kerana kesan sampingan.
Kami menemui bahawa bukti juga tidak pasti tentang sama ada menambahkan Coriolus kepada rawatan mengurangkan kesan sampingan yang disebabkan oleh kemoterapi atau radioterapi. Kami melihat kepada bukti terhadap pelbagai kesan sampingan yang berbeza termasuk kesan pada ujian darah, dan masalah seperti keradangan mulut, loya dan cirit-birit.
Kami menemui bukti kepastian rendah tentang kesan kecil penambahan Coriolus pada kelangsungan hidup pada tahun ke lima dibandingkan tanpa tambahan Coriolus . Kesan sebelum lima tahun adalah tidak jelas. Peringkat kanser berbeza-beza seperti juga rawatan kanser . Pesakit dalam beberapa kajian telah dirawat dengan gabungan ubat kanser yang tidak digunakan secara meluas dalam amalan sekarang dan kebanyakan kajian telah dijalankan pada masa dahulu.
Kepastian bukti
Peserta dalam semua kajian mengetahui sama ada mereka telah dirawat dengan Coriolus dan ini mungkin telah mempengaruhi laporan mereka tentang perubahan rasa loya dan masalah yang lain yang dilaporkan sendiri. Ia sepatutnya tidak memberi sebarang perbezaan kepada ujian makmal seperti ujian darah. Beberapa kaedah yang dilaporkan dalam kajian tidak jelas dan beberapa pesakit disertakan dalam banyak perbandingan yang kami periksa. Kami menemui bahawa bukti adalah sama ada berkepastian rendah atau sangat rendah untuk semua perbandingan.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).