Pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk diagnosis apendisitis akut

Soalan ulasan

Untuk memeriksa ketepatan pengimejan resonans magnetik (MRI), alat pengimejan perubatan yang digunakan untuk mengambil gambar terperinci bahagian dalam badan, untuk menguji apendisitis.

Mengapakah mendiagnosis apendisitis penting?

Apendisitis adalah keadaan yang sangat biasa dirawat dengan pembedahan kecemasan, tetapi sukar untuk didiagnosis. Sehingga satu daripada empat pesakit mungkin salah didiagnosis dengan apendisitis. Alatan seperti MRI boleh membantu mendiagnosis apendisitis dengan cepat dan awal.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Kami mengkaji ketepatan MRI untuk apendisitis pada semua pesakit.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menganalisa keputusan daripada 58 kajian dengan 7462 peserta untuk mengira ketepatan MRI. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa secara teori, jika MRI digunakan dalam 1000 pesakit yang disyaki apendisitis, di mana 250 pesakit sebenarnya menghidap apendisitis, maka:

• dianggarkan 250 pesakit akan mendapat keputusan MRI yang menunjukkan apendisitis, 12 daripadanya sebenarnya tidak mengalami apendisitis; dan

• daripada 750 pesakit yang menunjukkan keputusan di mana apendisitis tidak dikesan, 30 sebenarnya mempunyai apendiks akut.

MRI kekal sangat tepat apabila melihat secara khusus pada orang dewasa, wanita hamil, dan kanak-kanak.

Sejauh manakah keputusan kajian dalam ulasan ini boleh dipercayai?

Terdapat masalah dengan cara kebanyakan kajian dijalankan yang mungkin menyebabkan MRI kelihatan lebih tepat daripada yang sebenarnya.

Siapa yang boleh menggunakan keputusan ulasan ini?

Hasilnya terpakai kepada orang yang disyaki apendisitis, termasuk orang dewasa, wanita hamil, dan kanak-kanak. Kebanyakan kajian dijalankan di Eropah dan Amerika Utara di hospital universiti besar. Pesakit sering menjalani imbasan ultrasound tanpa keputusan yang jelas.

Apakah mesej utama ulasan ini?

Berdasarkan kajian yang disertakan dalam ulasan ini, MRI nampaknya merupakan ujian yang sangat tepat untuk apendisitis. Peluang untuk salah mendiagnosis seseorang dengan apendisitis atau terlepas apendisitis adalah kurang daripada 5%. Walau bagaimanapun, kerana kebanyakan kajian yang disertakan mempunyai masalah, kami tidak boleh mempercayai keputusan mereka sepenuhnya. Walaupun MRI berpotensi, sehingga kajian yang lebih baik telah dilakukan, kami tidak boleh mengesyorkan penggunaan MRI untuk diagnosis apendisitis.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan hingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information