Intervensi untuk mengurangkan jangkitan hepatitis C dalam kalangan orang yang menyuntik dadah

Soalan ulasan

Kami mengkaji penyelidikan kesan program picagari jarum (NSP) dan rawatan penggantian opioid (OST) dalam mengurangkan risiko dijangkiti virus hepatitis C.

Latar belakang

Terdapat sekitar 114.9 juta orang yang hidup dengan hepatitis C dan 3 hingga 4 juta orang yang baru dijangkiti setiap tahun. Risiko utama dijangkiti ialah perkongsian jarum/picagari. Hampir separuh daripada orang yang menyuntik dadah menghidap hepatitis C. Pemberian peralatan suntikan steril melalui NSP mengurangkan keperluan untuk perkongsian peralatan semasa menyediakan dan menyuntik dadah. OST diambil secara oral dan mengurangkan kekerapan suntikan dan amalan suntikan yang tidak selamat. Kami memeriksa sama ada NSP dan OST, disediakan secara tunggal atau bersama, berkesan dalam mengurangkan peluang dijangkiti hepatitis C dalam kalangan orang yang menyuntik dadah.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga November 2015.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 28 kajian di seluruh Eropah, Australia, Amerika Utara dan China. Secara purata di seluruh kajian, kadar jangkitan hepatitis C baru setiap tahun adalah 19.0 untuk setiap 100 orang. Data daripada 11,070 orang yang menyuntik dadah yang tidak dijangkiti hepatitis C pada permulaan kajian telah digabungkan dalam analisis. Daripada sampel itu, 32% adalah wanita, 50% menyuntik opioid, 51% menyuntik setiap hari, dan 40% kehilangan tempat tinggal. Kajian kami dibiaya oleh Program Penyelidikan Kesihatan Awam Institut Penyelidikan Kesihatan Kebangsaan (NIHR), Unit Penyelidikan Perlindungan Kesihatan dalam Penilaian Intervensi, dan Program Maklumat Pencegahan dan Penyelidikan Dadah Suruhanjaya Eropah (DIPP), Rawatan sebagai Pencegahan di Eropah: MOdel Unjuran.

Keputusan utama

Penggunaan OST semasa (ditakrifkan sebagai penggunaan pada masa tinjauan atau dalam tempoh enam bulan sebelumnya) boleh mengurangkan risiko mendapat hepatitis C sebanyak 50%. Kami tidak pasti sama ada liputan NSP yang tinggi (ditakrifkan sebagai kehadiran biasa di NSP atau semua suntikan yang meliputi jarum baru/picagari) mengurangkan risiko dijangkiti hepatitis C dalam semua kajian di seluruh dunia, tetapi terdapat beberapa bukti daripada kajian di Eropah bahawa liputan NSP yang tinggi dapat mengurangkan risiko jangkitan hepatitis C sebanyak 76%. Penggunaan kombinasi liputan NSP dengan OST yang tinggi dapat mengurangkan risiko jangkitan hepatitis C sebanyak 74%.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah dalam julat sederhana hingga sangat rendah kerana tiada kajian yang menggunakan reka bentuk standard emas kajian rawak terkawal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information