Penggunaan alat pembersih untuk celahan gigi di rumah (tambahan kepada menggosok gigi) untuk mencegah dan mengawal penyakit gusi dan kerosakan gigi

Soalan ulasan

Keberkesanan mengguna alat pembersih celahan gigi di rumah bersama memberus gigi, berbanding dengan hanya memberus gigi atau mengguna alat pembersih gigi yang lain, untuk mencegah dan mengawal penyakit periodontal (gusi) (gingivitis dan periodontitis), kerosakan gigi (karies gigi) dan plak?

Latar belakang

Kerosakan gigi dan penyakit gusi menjejaskan ramai orang. Ia boleh menyebabkan rasa sakit, kesukaran untuk makan dan bercakap, kurang keyakinan diri, dan, dalam kes yang melampau, boleh menyebabkan kehilangan gigi dan ada yang memerlukan pembedahan. Kos untuk perkhidmatan kesihatan bagi merawat penyakit ini adalah sangat tinggi.

Plak gigi (lapisan bakteria dalam matriks organik yang terbentuk pada gigi) adalah punca utama, adalah penting untuk membuang plak dari gigi secara berkala. Walaupun ramai orang memberus gigi secara rutin untuk menghilangkan plak sehingga ke paras gusi, berus gigi sukar untuk membersih kawasan di antara gigi (celahan gigi), jadi pembersihan celahan gigi sering disarankan sebagai langkah tambahan dalam rutin pembersihan mulut peribadi. Terdapat pelbagai alat yang dapat digunakan untuk membersih celahan gigi, seperti benang gigi, berus interdental, kayu pembersih gigi, dan alat tekanan air yang dikenali sebagai penyiram oral.

Ciri-ciri kajian

Ulasan penulis yang bekerja dengan Kesihatan Oral Cochrane telah mencari kajian sehingga 16 Januari 2019. Kami mengenal pasti 35 kajian (3929 peserta dewasa). Peserta diberitahu bahawa mereka berada dalam eksperimen, yang mungkin mempengaruhi cara-cara pembersihan gigi atau tingkah-laku makan mereka. Beberapa kajian mempunyai masalah lain yang mungkin menjadikan penemuan mereka kurang dipercayai, seperti orang yang menarik diri daripada kajian atau tidak menggunakan alat yang telah ditentukan.

Kajian menilai alat berikut ditambah dengan memberus gigi berbanding dengan memberus gigi sahaja: benang gigi (15 kajian), berus interdental (2 kajian), kayu pembersih gigi (2 kajian), alat pembersih getah/elastomerik (2 kajian) dan penyiram oral (5 kajian). Empat alat dibandingkan dengan benang gigi: berus interdental (9 kajian), kayu pembersih gigi (3 kajian), alat pembersih getah/elastomerik (9 kajian), penyiram oral (2 kajian). Tiga kajian membandingkan alat pembersih getah/elastomerik dengan berus celahan gigi.

Tiada kajian yang menilai kerosakan gigi, dan beberapa kajian menilai penyakit gusi yang teruk. Hasil diukur pada jangka masa pendek (satu bulan hingga enam minggu) dan sederhana (tiga dan enam bulan).

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa menggunakan benang gigi, tambahan kepada memberus gigi, mungkin mengurangkan gingivitis dalam jangka masa pendek dan sederhana. Adalah tidak jelas jika ia mengurangkan plak.

Penggunaan berus interdental, tambahan kepada memberus gigi, mungkin boleh mengurangkan gingivitis dan plak dalam jangka masa pendek.

Menggunakan kayu pembersih gigi mungkin lebih baik daripada memberus gigi sahaja untuk mengurangkan gingivitis (diukur oleh tempat pendarahan) dan bukan plak dalam jangka masa sederhana (hanya 24 peserta).

Menggunakan alat pembersih gigi yang diperbuat daripada getah atau elastomer mungkin lebih baik daripada memberus gigi sahaja untuk mengurangkan plak tetapi tidak gingivits dalam jangka masa pendek (hanya 30 peserta).

Memberus gigi bersama penyiram oral (tekanan air) mungkin dapat mengurangkan gingivitis dalam jangka masa pendek, tetapi tiada bukti untuk ini dalam jangka masa sederhana. Tiada bukti untuk perbezaan dalam plak.

Berus interdental mungkin lebih baik daripada benang gigi untuk mengurangkan gingivitis pada satu dan tiga bulan. Bukti untuk plak adalah tidak konsisten. Tiada bukti tentang perbezaan antara alat-alat untuk periodontitis yang diukur dengan menyiasat kedalaman poket.

Terdapat beberapa bukti bahawa penyiram oral mungkin lebih baik daripada benang gigi untuk mengurangkan gingivitis (tetapi bukan plak) dalam jangka masa pendek.

Bukti yang sedia ada untuk kayu pembersih celahan gigi menunjukkan bahawa ia bukan lebih baik atau lebih buruk daripada benang gigi atau berus interdental untuk mengawal gingivitis atau plak.

Kajian yang mengukur 'kejadian buruk' tidak menemui kesan yang serius dan tiada bukti tentang perbezaan antara kumpulan kajian bagi kesan kecil seperti kerengsaan gusi.

Kepastian bukti

Bukti adalah berkepastian rendah hingga sangat rendah. Kesan yang diperhatikan mungkin tidak penting secara klinikal. Kajian mengukur hasil kebanyakannya dalam jangka masa pendek dan banyak peserta mempunyai tahap penyakit gusi yang rendah pada awal kajian.

Penyelidikan masa depan

Kajian masa depan harus menggunakan pengelasan baru penyakit periodontitis untuk menghuraikan kesihatan gusi peserta, dan ia patut berlangsung cukup lama untuk mengukur periodontitis dan kerosakan gigi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Dr Shawn Paul (Klinik Pergigian Pakar Restoratif KP Simpang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information