Membuat penambahbaikan kepada sistem maklumat kesihatan rutin untuk mengukuhkan pengurusan sistem kesihatan

Bagi perkhidmatan dan sistem kesihatan berfungsi dengan baik, pengurus memerlukan sistem maklumat rutin yang menghasilkan maklumat yang boleh dipercayai mengenai seberapa baik perkhidmatan ini berfungsi dan yang menyokong penggunaan maklumat ini untuk menambah baik perkhidmatan. Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk melihat jika cara yang berbeza untuk menambah baik sistem maklumat rutin boleh meningkatkan kualiti dan penggunaan maklumat ini dan kualiti dan penggunaan perkhidmatan kesihatan. Para penulis ulasan mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui enam kajian.

Mesej utama

Bertukar dari sistem maklumat berasaskan kertas kepada sistem elektronik dan digital mungkin membolehkan kakitangan di kemudahan penjagaan kesihatan mengumpul beberapa jenis maklumat kesihatan rutin dengan lebih cepat dan kurang kesilapan. Tetapi terdapat banyak jurang bukti, dan kami masih perlu mengetahui lebih lanjut mengenai kesan pendekatan yang berbeza terhadap kualiti dan penggunaan maklumat dan terhadap kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sistem kesihatan yang lebih luas.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kakitangan di kemudahan penjagaan kesihatan biasanya mengumpulkan maklumat secara rutin mengenai perkhidmatan yang mereka berikan. Ini sering melibatkan maklumat mengenai kesihatan pesakit mereka dan jenis rawatan dan ujian yang mereka terima. Pengurus di pelbagai peringkat sistem kesihatan juga mengumpul maklumat, contohnya mengenai sumber manusia, kewangan, ubat-ubatan dan sistem bekalan. Pengurus kemudian boleh menggunakan maklumat ini untuk membuat keputusan mengenai cara mengatur dan memperbaik perkhidmatan. Ini dirujuk sebagai “sistem maklumat kesihatan rutin”. Ia sering merupakan sistem berasaskan kertas, tetapi maklumat boleh juga dikumpulkan melalui sistem elektronik.

Di kebanyakan negara, sistem rutin ini tidak berfungsi dengan baik. Ini kerana maklumat adalah berkualiti rendah atau kurang berguna. Di mana maklumat yang berkualiti baik tersedia, pengurus tidak selalu menggunakan maklumat ini dengan berkesan untuk menambah baik perkhidmatan. Ini mungkin kerana mereka mempunyai masalah mengakses maklumat tersebut, mereka kekurangan kemahiran untuk menggunakan maklumat tersebut dengan betul, atau mereka tidak digalakkan atau disokong dalam penggunaan maklumat tersebut.

Dalam ulasan ini, kami melihat kepada pelbagai cara untuk memperbaiki sistem maklumat kesihatan rutin dan kesannya terhadap kualiti dan penggunaan maklumat dan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sistem kesihatan yang lebih luas.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Para penulis ulasan menemui enam kajian yang relevan dari negara-negara di Afrika dan Amerika Selatan. Beberapa kajian menilai sama ada sistem elektronik adalah lebih baik daripada sistem berasaskan kertas. Beberapa kajian juga melihat kepada cara-cara lain untuk menambah baik sistem ini, contohnya dengan menggunakan sistem SMS telefon bimbit untuk membantu pekerja kesihatan dan kakitangan lain memberitahu sistem pusat mengenai tahap bekalan, mendaftarkan pesakit, atau memantau kesihatan pesakit.

Apakah kesan jenis-jenis sistem ini terhadap kualiti dan penggunaan maklumat yang dikumpulkan dan terhadap perkhidmatan kesihatan dan kualiti sistem?

- Apabila kakitangan penjagaan kesihatan menggunakan sistem maklumat elektronik dan digital untuk mendokumentasikan dan menyampaikan keputusan ujian makmal tuberkulosis (TB), berbanding dengan sistem berasaskan kertas, keputusan ujian mungkin dilaporkan lebih cepat dan dengan kurang kesilapan keseluruhannya. Tetapi kami tidak mengetahui jika sistem baru ini menyebabkan kurang kesalahan yang serius (seperti memberikan keputusan ujian yang salah untuk pesakit apabila memindahkan maklumat dari sistem makmal ke sistem klinik), kerana kepastian tentang bukti adalah sangat rendah.

- Apabila pekerja kesihatan komuniti dihantar pesanan teks (SMS) dengan kerap yang mendorong mereka mengumpulkan maklumat mengenai kehamilan, kelahiran dan kematian bayi baru lahir, ini mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti maklumat yang dilaporkan, berbanding dengan pesanan yang kurang kerap.

Kami tidak mengetahui apakah kesan pendekatan lain kepada penambahbaikan sistem terhadap kualiti dan penggunaan maklumat atau terhadap kualiti perkhidmatan tersebut kerana bukti adalah tidak mencukupi atau berkepastian sangat rendah.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Para penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Mei 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information