Mencegah sakit selepas pembedahan otak

Permasalahan

Terdapat peningkatan bukti bahawa orang yang telah menjalani pembedahan otak mengalami kesakitan yang signifikan. Kesakitan ini boleh mempunyai kesan yang serius termasuk peningkatan tekanan darah, keresahan, masa pemulihan yang berpanjangan dan peningkatan risiko sakit kepala jangka panjang. Kajian penyelidikan telah meneliti ubat-ubatan yang berbeza dalam usaha bagi mengurangkan risiko sakit untuk orang-orang ini. Kini terdapat lebih banyak bukti mengenai pilihan pengurangan kesakitan untuk orang dewasa yang menjalani pembedahan otak, tetapi masih terdapat ketidakpastian pilihan mana yang terbaik.

Soalan

Ulasan ini bertujuan untuk menentukan ubat-ubatan yang mana memberikan peluang terbaik untuk mengurangkan kesakitan bagi orang dewasa yang menjalani pembedahan otak, dengan mengumpul dan menggabungkan hasil kajian yang meneliti ubat-ubatan yang melegakan kesakitan untuk kumpulan pesakit ini. Untuk memberikan jawapan yang tepat kepada soalan ini, hanya kajian yang dijalankan mengikut piawaian tinggi yang diluluskan sahaja yang dimasukkan dalam ulasan ini. Kajian yang telah diterbitkan dalam pelbagai bahasa dan negara dimasukkan bagi mendapatkan maklumat sebanyak mungkin.

Di samping menentukan ubat-ubatan yang terbaik untuk mencegah atau mengurangkan kesakitan selepas pembedahan otak, ulasan ini cuba untuk menentukan maklumat tambahan seperti berapa banyak rawatan melegakan kesakitan tambahan diperlukan sebagai tambahan kepada rawatan yang dikaji; sama ada kesakitan peserta dikawal dengan secukupnya atau tidak; keadaan mengantuk para peserta kajian; kesan sampingan yang mereka alami; dan berapa lama mereka perlu berada dalam penjagaan rapi dan di hospital. Ulasan ini juga akan menimbangkan sama ada rawatan yang diberikan memberi kesan yang lebih baik apabila diberikan sebelum atau selepas pembedahan atau untuk orang yang menjalani pendekatan yang berbeza untuk pembedahan otak.

Keputusan

Sejumlah 43 kajian yang layak, (42 telah selesai dan satu masih dalam proses), telah ditemui. Daripada 42 kajian yang telah selesai (3548 peserta), 10 mengkaji suntikan tempatan anestetik ke dalam kulit kepala, 12 meneliti suntikan tempatan anestetik di sekitar saraf kulit kepala tertentu, 8 mengkaji ubat-ubatan anti-radang nonsteroidal (NSAID), 4 mengkaji dexmedetomidine, 4 meneliti asaminophen (aka paracetamol), 2 mengkaji ubat-ubatan opioid, 3 meneliti gabapentin atau pregabalin (ubat-ubatan anti-serangan yang juga boleh digunakan untuk melegakan kesakitan), bersama dengan 1 kajian anestetik tempatan yang disuntik ke dalam vena, anestetik tempatan yang disuntik ke dalam rahang dan ubat flupirtine.

Maklumat yang mencukupi telah diabstrak untuk mengira keseluruhan kesan pencegahan kesakitan yang berikut: suntikan tempatan anestetik di sekitar luka pembedahan, suntikan tempatan anestetik di sekitar saraf kulit kepala tertentu, NSAID, acetaminophen, dexmedetomidine dan pregabalin atau gabapentin. Apabila hanya kajian berkualiti tinggi diteliti: NSAID mengurangkan kesakitan sehingga 24 jam selepas pembedahan, dexmedetomidine dan anestetik tempatan yang disuntik di sekitar saraf kulit kepala tertentu mengurangkan kesakitan dalam masa 12 jam pertama selepas pembedahan, pregabalin atau gabapentin mengurangkan kesakitan dalam tempoh 6 jam pertama selepas pembedahan, dan suntikan anestetik tempatan di sekitar luka pembedahan mengurangkan kesakitan secara signifikan dalam tempoh 48 jam selepas pembedahan, tetapi tidak menjejaskan kesakitan pada masa yang lebih awal.

Apabila masa suntikan anestetik tempatan diteliti, anestetik tempatan yang disuntik di sekitar saraf kulit kepala tertentu memberikan kelegaan kesakitan awal yang lebih baik (6 jam pertama) apabila disuntik selepas pembedahan dan melegakan kesakitan lewat yang lebih baik (12 dan 24 jam) apabila disuntik sebelum pembedahan.

Intervensi berikutnya juga didapati mengurangkan keperluan untuk ubat-ubatan tambahan untuk melegakan sakit: anestetik tempatan disuntik di sekitar saraf kulit kepala tertentu dan dexmedetomidine. Gabapentin atau pregabalin didapati mengurangkan risiko loya dan muntah selepas pembedahan.

Acetaminophen didapati tidak mencegah kesakitan selepas pembedahan otak atau mengurangkan keperluan untuk ubat-ubatan tambahan bagi melegakan kesakitan.

Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada ubat-ubatan ini membuatkan peserta kajian lebih atau kurang mengantuk, memberi kesan kepada berapa lama mereka perlu berada dalam penjagaan intensif, atau sama ada ubat yang berbeza memberi kesan yang lebih baik untuk orang dewasa melalui pendekatan yang berbeza untuk pembedahan otak.

Kualiti keseluruhan bukti yang menyumbang kepada keputusan ulasan ini telah diteliti dan dinilai sebagai 'tinggi' untuk kesan pengurangan kesakitan bagi NSAID, 'sederhana' ke ‘rendah' untuk kesan pengurangan kesakitan bagi dexmedetomidine, acetaminophen, pregabalin dan gabapentin dan anestetik tempatan yang disuntik di sekitar saraf kulit kepala tertentu, dan 'rendah' ke 'sangat rendah ' untuk kesan pengurangan kesakitan bagi suntikan anestetik tempatan di sekitar luka pembedahan, keperluan kelegaaan sakit tambahan, serta risiko loya dan muntah selepas pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information