Rangsangan saraf elektrik transkutan (TENS) untuk sakit kronik - gambaran keseluruhan Ulasan Cochrane

Perkara utama

Bagi orang yang mengalami sakit kronik, gambaran keseluruhan Ulasan Cochrane mendapati adalah tidak mungkin untuk menyatakan dengan yakin sama ada TENS adalah berkesan untuk melegakan sakit berbanding dengan TENS palsu, penjagaan biasa / tiada rawatan atau apabila TENS digabungkan dengan rawatan aktif yang lain berbanding dengan rawatan aktif sahaja . Pengulas tidak dapat menemui apa-apa bukti yang boleh dipercayai bahawa keberkesanan TENS berbeza-beza apabila menggunakan mod penyampaian yang berbeza (contohnya frekuensi berlainan, intensiti atau penempatan elektrod).

Latar belakang

Sakit kronik (sakit selama lebih daripada tiga bulan) dikaitkan dengan pelbagai keadaan yang biasa dan boleh jadi sukar untuk dirawat dengan berkesan. TENS adalah satu rawatan biasa untuk keadaan sakit dan melibatkan penggunaan unit kecil kendalian bateri yang mengalirkan arus elektrik intensiti rendah ke badan menggunakan elektrod yang dilekatkan pada kulit. Ianya dicadangkan untuk melegakan sakit. TENS telah dikaji sebelum ini oleh beberapa Ulasan Cochrane.

Soalan ulasan

Dengan mengenal pasti Ulasan Cochrane yang berkaitan pada TENS untuk keadaan sakit kronik yang biasa, pengulas mengkaji sama ada TENS berkesan dalam mengurangkan sakit pada orang dewasa dengan sakit kronik (tidak termasuk sakit kepala atau migrain).

Ciri-ciri kajian

Sehingga November 2018, pengulas menjumpai sembilan ulasan layak untuk dimasukkan. Tujuh ulasan khusus mengkaji TENS untuk rawatan sakit/ fungsi dalam pelbagai keadaan kronik pada orang dewasa. Pengulas juga memasukkan satu ulasan yang mengkaji pelbagai modaliti elektrik untuk saki leher dan satu ulasan mengkaji intervensi bukan farmakologi pada orang yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Kedua-dua ulasan ini termasuk kajian mengkaji TENS. Walaupun ulasan yang disertakan adalah berkualiti tinggi, pengulas mendapati kualiti bukti yang dibentangkan dalam ulasan adalah sangat rendah.

Penemuan utama

Pengulas tidak dapat menyatakan dengan yakin sama ada TENS berkesan melegakan sakit dalam kalangan orang dengan sakit kronik. Ini disebabkan oleh kualiti bukti yang sangat rendah, dan bilangan peserta yang kecil dilibatkan dalam kajian yang dibuat ulasan tersebut. Isu dengan kualiti, saiz kajian dan kekurangan data bermakna pengulas tidak dapat membuat sebarang kesimpulan mengenai mudarat yang berkaitan dengan TENS atau kesan sampingan atau kesan TENS terhadap ketidakupayaan, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, penggunaan ubat pelega kesakitan atau tanggapan orang mengenai sejauh mana TENS mengubah keadaan mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane @rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save