Intervensi psikososial untuk penagih kokain dan amfetamin

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan rawatan psikososial, yang merangkumi pelbagai strategi yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku dan menyokong orang dewasa yang terlibat dalam penggunaan berbahaya, penyalahgunaan atau pergantungan kepada kokain atau amfetamin, termasuklah MDMA (ekstasi).

Latar belakang

Di peringkat global, kokain dan amfetamin adalah dua psikostimulan rekreasi utama. Anggaran terkini menunjukkan bahawa lebih daripada 0.35% orang dewasa di seluruh dunia telah menggunakan kokain dan 0.7% menggunakan amfetamin sekurang-kurangnya sekali pada tahun yang lalu. Dari segi prevalen, amfetamin adalah dadah yang paling biasa digunakan di seluruh dunia selepas ganja.

Pergantungan pada kokain dan amfetamin telah dikaitkan dengan kesan-kesan negatif sosial, fizikal dan psikologi. Ini termasuklah delusi dan halusinasi, penyakit kardiovaskular, AIDS, hepatitis viral, dan jangkitan transmisi seksual. Terdapat hubungan rapat antara penggunaan dadah secara haram, termasuklah kokain dan amfetamin, dengan jenayah, penderaan seksual dan keganasan interpersonal.

Rawatan farmakologi adalah tidak berkesan dalam menangani keadaan ini, oleh itu adalah penting untuk mengetahui sama ada intervensi psikososial dapat meningkatkan kepatuhan kepada rawatan menahan diri atau mengurangkan kekerapan penggunaan.

Tarikh carian

Bukti terkini adalah sehingga November 2015.

Ciri-ciri kajian

Kami melihat 52 kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta-peserta telah diperuntukkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan atau kawalan) dalam ulasan ini.

Secara purata, intervensi berlangsung kira-kira 16 minggu, manakala penyiasat membuat kajian susulan terhadap peserta selama 6 hingga 12 bulan.

Kajian-kajian tersebut menilai pelbagai jenis intervensi psikososial: terapi tingkah laku kognitif (19 kajian), pengurusan kontigensi (25 kajian), temu duga motivasi (5 kajian), terapi interpersonal (3 kajian), terapi psikodinamik (1 kajian) dan 12-langkah pemudahan (4 kajian).

Empat puluh satu kajian telah berlangsung di Amerika Syarikat, empat di Sepanyol, tiga di Australia, dua di Switzerland dan dua di UK. Kami memasukkan sejumlah 6923 peserta dengan purata umur 36 tahun. Peratusan lelaki adalah 63% Perbandingan yang dibuat adalah: intervensi psikososial berbanding tiada intervensi (32 kajian), sebarang rawatan psikososial berbanding rawatan biasa (6 kajian), dan satu intervensi psikososial berbanding intervensi psikososial alternatif (13 kajian). Lima daripada kajian-kajian tersebut tidak memberikan apa-apa data yang berguna untuk dimasukkan ke dalam penjanaan statistik.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa sebarang intervensi psikososial mungkin boleh meningkatkan pematuhan rawatan dan daya tahan diri pada akhir rawatan berbanding dengan tiada intervensi; walau bagaimanapun, pesakit mungkin tidak dapat kekal bersih daripada dadah beberapa bulan selepas tamat rawatan. Akhir sekali, kami mendapati bahawa orang yang menjalani intervensi psikososial spesifik boleh kekal bersih untuk jangka masa yang lebih panjang tanpa menggunakan apa-apa perangsang. Walau bagaimanapun, sebahagian besar daripada kajian-kajian tersebut menilai rawatan psikososial spesifik yang ditambah kepada rawatan biasa atau perbandingan dengan rawatan psikososial atau rawatan farmakologi spesifik. Oleh itu, kumpulan rawatan sebenarnya bukan benar-benar tidak dirawat. Ini mungkin telah membawa kepada penganggaran yang rendah terhadap kesan sebenar intervensi psikososial.

Kami mendapati bahawa jika dibandingkan dengan TAU (rawatan biasa), sebarang rawatan psikososial mungkin meningkatkan kepatuhan tetapi tidak boleh meningkatkan penahanan diri pada akhir rawatan atau membantu peserta kekal bersih untuk jangka masa yang lebih panjang.

Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang rawatan psikososial yang paling berkesan berdasarkan perbandingan secara langsung. Kebanykan kajian-kajian tersebut telah berlangsung di Amerika Syarikat, dan ini boleh menghadkan anggapan umum penemuan kajian, kerana kesan rawatan psikososial boleh dipengaruhi oleh konteks sosial dan etnik.

Tiada kajian melaporkan kemudaratan yang berkaitan dengan intervensi psikososial.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana untuk kepatuhan rawatan tetapi rendah untuk penahanan diri.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com.