Fluorida tambahan yang diambil oleh wanita hamil untuk mencegah karies gigi pada gigi primer anak-anak mereka

Soalan ulasan

Sejauh mana keberkesanan dan selamat penggunaan fluorida tambahan (dengan tablet, titisan, lozenges atau gula-gula getah) pada wanita hamil untuk mencegah kerosakan gigi pada gigi bayi anak-anak mereka berbanding dengan plasebo (tablet atau bentuk tambahan lain tanpa fluorida) atau tanpa rawatan?

Latar belakang

Kerosakan gigi adalah salah satu masalah kesihatan yang paling biasa di kalangan kanak-kanak. Keadaan ini telah berkurangan di kalangan kanak-kanak di kebanyakan negara di serata dunia sejak beberapa dekad yang lalu yang kemungkinan besar disebabkan oleh penggunaan ubat gigi fluorida yang meluas, diikuti dengan fluoridasi air, pendidikan kesihatan mulut dan sedikit penurunan dalam penggunaan gula. Jika fluorida tambahan yang diambil oleh wanita hamil boleh mencegah kerosakan gigi pada anak-anak mereka, wanita hamil tanpa akses kepada bekalan air minuman yang difluoridasi boleh mendapat manfaat dari fluoridasi sistemik. Tablet, titisan, lozenges atau gula-gula getah flourida yang disedut atau dikunyah untuk membekalkan fluorida setempat dan ditelan untuk membekalkan fluorida sistemik.

Ciri-ciri kajian

Penulis dari Kesihatan Oral Cochrane menjalankan ulasan ini mengenai kajian yang sedia ada dan bukti adalah terkini sehingga 25 Januari 2017. Ia termasuk hanya satu kajian di mana 1400 wanita hamil dibahagikan secara rawak kepada rawatan fluorida atau plasebo. Dalam kajian ini, dos harian 1 mg tablet natrium fluorida atau tablet plasebo diberikan kepada peserta dari bulan keempat kehamilan hingga kelahiran. Kedua-dua kumpulan ini digalakkan menggunakan makanan tambahan fluorida selepas kelahiran dalam bentuk titisan. Sejumlah 1175 bayi dilahirkan oleh peserta dalam kajian ini dan dari jumlah ini 938 kanak-kanak dibuat susulan pada umur 3 tahun (464 tablet fluorida berbanding 484 tablet plasebo) dan 798 kanak-kanak dibuat susulan sehingga berumur 5 tahun (398 tablet fluorida berbanding 400 tablet plasebo). Diterbitkan pada tahun 1997, kajian ini berlaku di komuniti dengan air minuman yang tidak difluoridasi di Southern Maine, Amerika Syarikat.

Keputusan utama

Pereputan gigi bayi yang diukur pada kanak-kanak berumur 3 dan 5 tahun adalah sangat rendah dalam kedua-dua kumpulan fluorida tambahan dan plasebo. Pada umur 5 tahun, 92% kanak-kanak kekal bebas-reput dalam kumpulan fluorida tambahan dan 91% kekal bebas-reput dalam kumpulan plasebo, tidak menunjukkan sebarang perbezaan antara kedua-dua kumpulan. Kejadian fluorosis pada umur 5 tahun adalah sama antara kumpulan yang mengambil fluorida tambahan (tablet) dalam 6 bulan terakhir kehamilan dan kumpulan plasebo.

Tiada bukti bahawa fluorida tambahan yang diambil oleh wanita semasa kehamilan adalah berkesan dalam mencegah karies gigi pada anak mereka.

Kualiti bukti

Kajian yang dimasukkan dinilai sebagai mempunyai bias yang berisiko tinggi dan buktinya adalah berkualiti sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information