Terapi elektrokonvulsif untuk skizofrenia tahan rawatan

Soalan ulasan

Adakah terapi elektrokonvulsif (ECT) selamat dan berkesan untuk pesakit dengan skizofrenia yang tidak memberi tindak balas terhadap rawatan sebelumnya?

Latar Belakang

Terapi elektrokonvulsif menyebabkan berlakunya kekejangan dengan menggunakan rangsangan elektrik dengan elektrod yang biasanya diletakkan pada kedua-dua belah kulit kepala. =Terapi elektrokonvulsif pernah digunakan secara meluas sebagai rawatan untuk pesakit skizofrenia, tetapi sekarang penggunaannya berkurangan akibat terdapatnya ubatan antipsikotik dan kebimbangan mengenai kemungkinan kesan sampingan jangka panjang ECT.

Kaedah dan keputusan

Pencarian untuk kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang dijalankan dalam 2015 dan dikemaskini dalam 2017. Kami memasukkan 15 kajian dengan jumlah 1285 pesakit dengan skizofrenia tahan rawatan. Umur peserta adalah dari 18 sehingga 46 tahun. Satu kajian membandingkan penambahan ECT kepada penjagaan standard dengan penambahan ECT palsu (ECT tidak aktif); satu kajian membandingkan penambahan ECT kepada penjagaan standard dengan penambahan antipsikotik tambahan kepada penjagaan standard; dan 12 kajian membandingkan penambahan ECT kepada penjagaan standard dengan penjagaan standard. Satu kajian membandingkan ECT sebagai rawatan tunggal dengan antipsikotik sebagai rawatan tunggal.

Hasil kajian yang kami minati adalah tindak balas terhadap rawatan yang penting secara klinikal, fungsi kognitif, peninggalan kajian awal, keadaan mental, kefungsian umum, bilangan dihospital, dan kematian. Tiada kajian yang dimasukkan melaporkan maklumat untuk kematian. Kualiti bukti untuk setiap hasil utama kebanyakannya sangat rendah atau rendah, dengan kualiti bukti dinilaikan sebagai sederhana untuk satu hasil sahaja. Ini kebanyakannya disebabkan oleh isu dengan cara kajian-kajian tersebut dijalankan (contohnya peserta tidak dibutakan kepada rawatan) dan bilangan peserta kecil.

Untuk pembandingan penambahan ECT kepada penjagaan standard dengan penjagaan standard, kualiti bukti sederhana menunjukkan bahawa penambahan ECT kepada penjagaan standard mungkin mempunyai kesan manfaat atas tindak balas klinikal kepada rawatan. Bukti berkualiti sangat rendah menunjukkan bahawa penambahan ECT kepada penjagaan standard mungkin meningkatkan risiko masalah memori jangka pendek dan mungkin membawa kesan positif keatas skor Global Assessment of Functioning. Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa penambahan ECT kepada penjagaan standard mungkin membawa kesan positif atas skor Brief Psychiatric Rating Scale.

Bukti untuk pembandingan yang lain juga berkualiti rendah atau sangat rendah, dan secara keseluruhannya tiada perbezaan yang ketara antara kumpulan rawatan wujud.

Kesimpulan

Kami menjumpai bukti berkualiti sederhana bahawa penambahan ECT kepada penjagaan standard mempunyai kesan positif atas tindak balas klinikal apabila dibandingkan dengan penjagaan standad. Bukti yang sedia ada adalah terlalu lemah untuk menunjukkan dengan jelas yang penambahan ECT kepada rawatan standad adalah dikaitkan dengan manfaat atau bahaya untuk hasil kajian lain. Bukti juga tidak mencukupi berkenaan kesan dan keselamatan penambahan ECT kepada penjagaan standad dibandingkan dengan ECT palsu atau antipsikotik tambahan dan bukti tidak mencukupi mengenai penggunaan ECT sahaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save