Terapi gelombang kejutan ekstrakorporeum dan pengurusan ulser vena kaki.

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini ialah untuk mengetahui samada terapi gelombang kejutan ekstrakorporeum (denyutan tenaga yang hampir sama dengan tenaga bunyi, dihantar ke kulit melalui pad) dapat membantu menyembuhkan ulser vena kaki. Para penyelidik dari Cochrane mencari kajian yang relevan (kajian rawak terkawal) untuk menjawab persoalan ini tetapi tiada kajian yang relevan ditemui.

Mesej utama

Tiada bukti dari kajian rawak terkawal sedia ada untuk membolehkan kami menilai sama ada terapi gelombang kejutan ekstrakorporeum (ESWT) berkesan untuk menyembuhkan ulser vena kaki. Kajian rawak terkawal adalah kajian perubatan di mana pesakit dipilih secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza. Kajian jenis ini memberi bukti yang paling boleh dipercaya, dankini terdapat kekurangan bukti berkualiti tinggi dalam bidang ini.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Ulser kaki ialah luka kronik di bahagian bawah kaki yang boleh mengambil masa yang lama untuk sembuh. Ulser vena kaki adalah disebabkan oleh aliran darah yang kurang di kaki. Darah yang terkumpul dalam saluran vena boleh merosakkan kulit dan tisu-tisu berdekatan, menyebabkan ulser terbentuk. Ulser vena kaki dikaitkan dengan pengurangan kualiti hidup, pengurangan pergerakan, kesakitan, stres dan kehilangan harga diri. Rawatan standard untuk ulser vena kaki ialah rawatan balutan atau stokin kompresi.

ESWT mula digunakan untuk memecahkan batu ginjal dan batu hempedu, tetapi kini ia digunakan untuk merawat tendonitis dan keadaan sendi dan otot lain. ESWT juga difikirkan dapat menyembuhkan luka dengan merangsang peredaran darah, menggalakkan pertumbuhan salur darah yang sihat, dan mengurangkan keradangan. Ini adalah rawatan terbaru untuk ulser vena kaki.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati tiada kajian rawak terkawal yang menilai penggunaan ESWT untuk ulser vena kaki. Ini menonjolkan jurang dalam bukti perubatan yang boleh dijadikan alasan keperluan penyelidikan lanjutan dalam bidang ini.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga April 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fazarina Mohammed (Pusat Perubatan UKM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (fazarina.m@gmail.com)

Tools
Information