Tahap interleukin-6 dalam mengenal pasti pesakit dewasa yang sakit teruk dengan sepsis

Soalan ulasan

Kami menilai bukti tentang kemampuan tahap interleukin-6 (IL-6) dalam plasma untuk mengenal pasti pesakit dewasa dengan sepsis. Interleukin-6 adalah sejenis cytokine (kategori protein kecil yang lebar dan longgar) yang dikeluarkan oleh sel-sel imun yang mengendalikan pelbagai aktiviti biologi.

Latar belakang

Sepsis adalah tindak balas yang mengancam nyawa oleh sistem imun kepada jangkitan yang boleh mengakibatkan kerosakan tisu, kegagalan organ, dan juga kematian, dan harus dianggap sebagai kecemasan perubatan. Kira-kira 288 kes sepsis oleh 100,000 orang-tahun berlaku di hospital, dan 17% daripada pesakit tersebut boleh mati. Pengenalpastian awal pesakit yang mempunyai sepsis adalah langkah pertama untuk pengurusan perubatan segera, yang mana penting untuk mengelakkan komplikasi lanjut dan kematian. Rawatan yang utama terdiri daripada penggunaan antibiotik (ubat yang menghalang pertumbuhan mikroorganisma berbahaya). Beberapa alat telah dicadangkan untuk mendiagnos sepsis, serta pemeriksaan fizikal terhadap kultur darah (penilaian sampel darah untuk mengenal pasti mikroorganisma yang menyebabkan jangkitan). Interleukin-6 adalah molekul yang membantu dalam komunikasi sel semasa tindak balas badan terhadap jangkitan. Telah dicadangkan bahawa pengukuran tahap IL-6 dalam plasma daripada sampel darah semasa permulaan sepsis dapat membantu dalam mengenal pasti pesakit sepsis lebih awal dan memulakan rawatan yang mencukupi.

Ciri-ciri ulasan

Kami telah melakukan carian literature yang teliti untuk kajian yang melaporkan penggunaan tahap IL-6 bagi mengesan sepsis sehingga Januari 2019. Kami mendapati 23 kajian yang melibatkan 4192 orang dewasa yang sakit teruk.

Keputusan utama

Penilaian kami terhadap bukti tersebut menunjukkan kerumitan topik penyelidikan, yang mana mewakili kepelbagaian maklumat yang tinggi yang dilaporkan oleh kajian-kajian itu. Kami mendapati ciri-ciri pesakit yang dinilai jauh berbeza antara kajian dari segi usia, jantina, tetapan, diagnosis awal, nilai indikatif untuk sepsis, dan sumber jangkitan, di antara faktor-faktor lain juga. Kepelbagaian dalam data yang dikumpul ini menghalang sintesis berangka yang rasmi untuk penemuannya. Dengan menggunakan data yang ada untuk melakukan estimasi anggaran tentang akibatnya, kami mendapati bahawa 700 daripada 1000 pesakit yang disyaki sepsis mungkin diklasifikasikan dengan betul, tetapi 130 daripada 1000 pesakit akan disalah anggap sebagai sepsis, sementara 170 daripada 1000 pesakit mungkin disalah anggap sebagai tidak mempunyai sepsis. Kesalahan ini akan mengakibatkan peningkatan yang serius dalam risiko morbiditi dan kematian yang lebih lanjut disebabkan kelewatan rawatan yang mencukupi. Maklumat ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati kerana batasan dalam data yang dikumpul.

Kualiti bukti

Kami telah menilai kajian-kajian yang dimasukkan bahawa terdapatnya had penting dalam pengesahan mereka, jadi mereka berisiko tinggi dalam memberikan keputusan yang terganggu (iaitu berisiko tinggi untuk bias).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save