Aplikasi cecair air mani untuk memperbaiki hasil pembiakan terbantu

Soalan ulasan

Tujuan utama ulasan ini adalah untuk menilai sama ada aplikasi plasma air mani pada saluran kemaluan wanita sekitar masa pemindahan embrio memperbaiki kadar lahir hidup dalam kitaran teknologi pembiakan terbantu (ART). Plasma air mani adalah bahagian cairan ejakulasi, dan saluran kemaluan wanita terdiri daripada faraj, leher rahim dan rahim.

Latar belakang

Dalam kitaran ART, telur dan sperma dicampur di luar badan untuk berkembang menjadi embrio. Satu atau dua embrio diletakkan ke dalam rahim dengan amaun kecil cecair buatan. Semasa proses ini, tubuh wanita tidak bersentuhan dengan plasma air mani sama sekali, tidak seperti semasa hubungan seksl normal di mana pasangan lelaki memncut ke dalam faraj, mendedahkan faraj kepada cairan air mani. Telah dicadangkan bahawa plasma air mani mengandungi beberapa molekul yang boleh membantu embrio untuk melekat pada rahim. Persoalan yang logik ialah sama ada aplikasi sedikit plasma air mani pada faraj/ leher rahim atau rahim meningkatkan peluang lahir hidup selepas ART.

Ciri-ciri kajian

Ulasan Cochrane ini memasukkan 11 kajian rawak terkawal, di mana wanita secara rawak diperuntukkan untuk menerima plasma air mani atau tidak. Kajian-kajian ini memasukkan seramai 3215 wanita yang menjalani ART. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2017.

Keputusan utama

Kami mendapati tiada bukti jelas untuk menunjukkan sama ada aplikasi plasma air mani mempengaruhi kadar lahir hidup atau keguguran dalam kalangan wanita yang menjalani ART. Walau bagaimanapun, kami mendapati bukti yang berkualiti rendah menunjukkan aplikasi plasma air mani mungkin membawa kepada kehamilan klinikal berbanding ART standard. Terdapat bukti yang berkualiti rendah menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan di antara kumpulan-kumpulan dalam kadar hamil kembar. Tiada cukup bukti untuk mencapai sebarang kesimpulan mengenai risiko kehamilan ektopik (kehamilan di mana embrio melekat di luar rahim), dan tiada data mengenai komplikasi berjangkit atau kejadian buruk yang lain.

Kami menyimpulkan bahawa aplikasi plasma air mani layak untuk penyiasatan lebih lanjut yang memberi tumpuan kepada kelahiran hidup dan kadar keguguran.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berkisar antara sangat rendah hingga rendah. Keterbatasan utama adalah risiko bias (dikaitkan dengan laporan yang teruk dari kaedah kajian) dan kekurangan data untuk hasil utama kadar kelahiran hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information