Penyedutan nitrik oksida untuk merawat krisis kesakitan dalam kalangan orang yang mempunyai penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Bolehkah nitrik oksida yang disedut melegakan krisis kesakitan pada orang yang mempunyai penyakit sel sabit dan adakah ia mempunyai kesan lain yang bermanfaat (seperti mengurangkan keterukan kesakitan, memendekkan tempoh tinggal di hospital atau mengurangkan kekerapan krisis berulang) atau sebarang kesan berbahaya?

Latar belakang

Penyakit sel sabit adalah keadaan yang menjejaskan sel darah merah. Sel darah merah biasa adalah bulat, tetapi pada orang yang menghidap penyakit sel sabit sesetengah sel darah merah boleh mempunyai bentuk yang tidak normal seperti bulan sabit (atau sabit, alat dengan bilah melengkung). Sel-sel yang berbentuk tidak normal mudah tersekat dalam saluran darah, yang boleh menyebabkan episod kesakitan teruk yang dikenali sebagai krisis kesakitan. Kesakitan boleh berlaku di tulang, dada, atau bahagian badan yang lain, dan boleh berlarutan dari beberapa jam hingga beberapa hari.

Ubat tahan sakit adalah rawatan utama untuk krisis kesakitan. Satu lagi rawatan yang dicadangkan ialah penyedutan nitrik oksida, yang merupakan gas yang boleh melegakan saluran darah yang tersekat supaya ia dapat melebar dan membolehkan sel-sel sabit lalu. Kami ingin menilai sama ada penyedutan nitrik oksida berkesan dalam melegakan kesakitan pada orang yang mempunyai penyakit sel sabit.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 1 September 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami mermasukkan tiga kajian dengan 188 orang (jumlah lelaki dan wanita yang sama) dengan penyakit sel sabit yang mengalami krisis kesakitan. Kebanyakan peserta adalah orang dewasa, selain satu kajian yang dijalankan di hospital kanak-kanak di mana kebanyakan peserta adalah kanak-kanak berusia lebih dari 10 tahun. Kajian membandingkan nitrik oksida yang disedut dengan plasebo (rawatan tiruan, iaitu udara bilik) yang tidak memberikan kelegaan kesakitan. Peserta ditugaskan kepada satu atau kumpulan rawatan lain secara rawak. Rawatan itu berlangsung selama empat jam dalam dua kajian dan lapan jam dalam kajian yang ketiga.

Keputusan utama

Hanya satu kajian besar (150 peserta) melaporkan masa sehingga kesakitan berhenti, tidak menemui perbezaan antara nitrik oksida atau udara bilik. Kajian ini juga satu-satunya kajian yang melaporkan kekerapan krisis kesakitan dalam tempoh susulan, dan kami mendapati sedikit atau tiada perbezaan di antara penyedutan nitrik oksida dan udara bilik untuk kembali ke jabatan kecemasan atau untuk dimasukkan semula ke hospital. Ketiga-tiga kajian itu melaporkan skor kesakitan; kajian yang lebih besar tidak menemui perbezaan antara nitrik oksida atau udara bilik pada setiap selang masa sehingga lapan jam, tetapi dua kajian yang lebih kecil (38 peserta) melaporkan manfaat penyedutan nitrik oksida dalam melegakan kesakitan selepas empat jam; namun, kajian-kajian ini kecil dan terhad berbanding kajian pertama.

Kesemua tiga kajian melaporkan bahawa penyedutan nitrik oksida tidak memberi kesan kepada penurunan penggunaan ubat penahan sakit, tetapi tiada data yang dapat dianalisis. Dua kajian melaporkan purata tempoh tinggal di hospital: dalam kajian besar mereka yang diberi udara bilik tinggal lebih sekejap, manakala kajian yang lebih kecil yang dijalankan di hospital kanak-kanak melaporkan tinggal lebih sekejap bagi mereka yang dirawat dengan nitrik oksida yang disedut. Hanya kajian yang lebih besar yang melaporkan kesan berbahaya nitrik oksida, mendapati sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan rawatan.

Kami tidak dapat menggabungkan data yang tersedia dari ketiga-tiga kajian yang disertakan kerana perbezaan dalam melaporkan hasil. Akibatnya, bukti yang ada pada masa kini adalah tidak mencukupi untuk memberikan jawapan yang jelas mengenai penggunaan penyedutan nitrik oksida untuk orang dengan penyakit sel sabit yang mengalami krisis kesakitan.

Kajian masa depan, sebaiknya yang berskala besar dan jangka panjang, perlu dijalankan untuk memberikan bukti yang kukuh dalam bidang ini. Pengkaji harus mengukur dan melaporkan hasil yang penting kepada pesakit (misalnya ukuran kesakitan dan masa untuk penyelesaian kesakitan dan jumlah analgesik yang digunakan), serta penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan cara standard.

Kepastian bukti

Kami menilai bukti yang boleh dianalisis sebagai berkepastian rendah. Kami percaya bahawa keputusan dalam ulasan ini terjejas kerana tidak semua hasil yang dirancang telah dilaporkan dalam dua kajian terlibat, dan kajian adalah kecil. Tambahan pula, industri farmaseutikal membiayai kajian kecil orang dewasa, yang harus dipertimbangkan apabila mempertimbangkan keputusan kajian ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information