Intervensi untuk melegakan kesakitan intra-operatif semasa fasa postpartum pembedahan mini-laparotomi ligasi tuba

Soalan ulasan

Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan intervensi untuk melegakan kesakitan intra-operatif dengan intervensi lain atau tiada sebarang intervensi, semasa mini-laparotomi (sayatan pembedahan yang kecil melalui dinding perut) ligasi tuba (tiub rahim diikat) selepas bersalin.

Latar belakang

Ligasi tuba adalah bentuk kawalan kelahiran yang tetap di mana tiub rahim wanita akan dipotong atau disekat secara pembedahan untuk mencegah kehamilan. Pembedahan ini boleh dilakukan melalui mini-laparotomi. Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan untuk menghilangkan rasa sakit semasa pembedahan mini-laparotomi ligasi tuba. Beberapa kaedah untuk melegakan kesakitan termasuk suntikan ubat anti-radang bukan steriod (kelas ubat-ubatan yang dapat mengurangkan kesakitan dan demam), opiod (kelas ubat-ubatan yang berkaitan dengan struktur ke candu), atau menuangkan lidokain (ubat yang digunakan untuk mengebaskan tisu pada kawasan tertentu) sehingga rongga perut.

Ciri-ciri kajian

Kami telah melibatkan tiga kajian terkawal secara rawak dengan penglibatan sejumlah 230 wanita. Kajian ini membandingkan lidokain yang dituangkan ke rongga perut dengan plasebo, atau rawatan lain, seperti suntikan morfin (juga dikenali sebagai opiod) ke dalam otot, atau dengan kombinasi lidokain dan morfin. Semua kajian ini dijalankan di Thailand. Bukti yang dijelaskan dalam ulasan ini adalah dari hasil kajian yang telah diterbitkan sebelum 31 Julai 2017.

Keputusan utama

Menuangkan lidokain ke rongga perut semasa ligasi tuba mini-laparotomi sebelum tiub fallopio diikat selepas bersalin mungkin menawarkan kawalan kesakitan yang lebih baik daripada suntikan plasebo atau morfin, walaupun bukti mengenai kesan sampingan tidak dapat dipastikan. Wanita yang menerima kombinasi suntikan morfin dan penuangan lidokain ke rongga perut tidak menunjukkan perbezaan kesakitan yang jelas dengan mereka yang menerima lidokain sahaja. Suntikan morphine ke otot sahaja tidak mengurangkan kesakitan lebih daripada plasebo.

Bukti kepastian
Kepastian bukti mengenai keberkesanan intervensi ini adalah rendah kerana risiko berat sebelah dan ketidaktepatan keputusan. Kepastian bukti mengenai keselamatan intervensi ini adalah rendah kerana risiko berat sebelah dan ketidaktepatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Shaamalan Murugaya (MAHSA University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information