Ligasi gelang berbanding skleroterapi untuk profilaksis primer varises esofagus dalam kanak-kanak

Latar belakang

Hipertensi portal ditakrifkan sebagai peningkatan tekanan darah dalam sistem vena (sejenis saluran darah) dipanggil sistem vena portal, yang mengalirkan darah dari saluran gastrousus (perut) dan limpa ke dalam hati. Hipertensi portal biasanya diiringi penyakit hati lanjutan dan sering menimbulkan komplikasi yang mengancam nyawa, termasuk pendarahan dari esofagus (kerongkong) dan varises gastrousus (vena yang membesar atau bengkak).

Dalam orang dewasa, banyak kajian klinikal rawak (kajian yang mana orang diagihkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) telah menunjukkan manfaat ubat yang dipanggil penyekat beta tidak selektif dan ligasi variseal endoskopi (yang mana vena yang dibesarkan diikat atau diligat dengan gelang getah) terhadap risiko pendarahan variseal yang pertama. Rawatan-rawatan ini digunakan sebagai profilaksis primer (mencegah atau meningkatkan ketahanan terhadap penyakit yang belum berlaku) dalam orang dewasa, tetapi tidak diketahui sama ada ianya bermanfaat atau menyebabkan mudarat apabila digunakan dalam kanak-kanak dan remaja. Skleroterapi (suntikan endoskopi bahan iritasi tisu yang menyebabkan penghapusan saluran darah) adalah satu-satunya pilihan profilaksis endoskopi yang sedia ada pada masa ini untuk bayi yang berat badan kurang daripada 10 kg (kerana saiznya).

Matlamat

Kami bertujuan untuk melakukan ulasan sistematik kajian klinikal rawak untuk menilai manfaat dan bahaya ligasi gelang berbanding skleroterapi untuk mencegah pendarahan varises esofagus dalam kanak-kanak dengan penyakit hati kronik atau trombosis vena portal (penyekatan atau penyempitan vena portal (saluran darah yang membawa darah ke hati dari usus) oleh darah beku). Kami mencari kajian-kajian sehingga 27 April 2020.

Keputusan utama

Kami tidak menemui kajian klinikal rawak untuk dimasukkan ke dalam ulasan sistematik ini. Oleh itu, kami kekurangan keputusan dari kajian klinikal rawak untuk menyimpulkan jika ligasi gelang berbanding skleroterapi mungkin bermanfaat atau tidak dalam kanak-kanak dan remaja dengan varises esofagus. Terdapat keperluan untuk kajian yang direka dengan baik yang perlu menyertakan hasil klinikal penting seperti kematian, kualiti hidup, kegagalan untuk mengawal pendarahan varises, dan kesan-kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information