Dexamethasone dan blok saraf periferi

Apakah blok saraf periferi?

Blok saraf menghalang atau melegakan kesakitan dengan mengganggu isyarat sakit yang bergerak sepanjang saraf ke otak. Ia melibatkan suntikan anestetik setempat (agen kebas) di sekitar saraf sama ada semasa atau selepas pembedahan. Kelegaan kesakitan dari blok saraf mungkin hanya beberapa jam selepas pembedahan, dan selepas itu mereka mungkin mengalami kesakitan sederhana hingga teruk.

Apakah itu dexamethasone?

Dexamethasone adalah steroid yang boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan akibat kerosakan tisu selepas pembedahan (haba, sakit, kemerahan dan pembengkakan). Pada mereka yang menerima blok saraf, dexamethasone boleh diberikan melalui anestetik setempat di sekitar saraf (perineural) atau ke dalam urat (intravena) untuk memanjangkan tempoh kelegaan sakit dari blok saraf periferi.

Apakah yang disiasat oleh penyelidik?

Penyelidik mencari kajian rawak terkawal yang menyiasat sama ada dexamethasone perineural atau intravena memanjangkan tempoh masa kelegaan kesakitan dari blok saraf periferi ketika mereka menjalani pembedahan anggota badan atas dan bawah dan mengurangkan intensiti kesakitan selepas pembedahan. Penyelidik juga menyiasat sama ada dexamethasone perineural atau intravena menyebabkan sebarang kesan sampingan atau bahaya. Penyelidik mencari penerbitan perubatan untuk artikel yang melibatkan sama ada orang dewasa atau kanak-kanak yang menjalani pembedahan anggota badan atas atau bawah dengan blok saraf periferal yang diterbitkan sehingga 25 April 2017. Penyelidik juga menilai kualiti bukti bagi setiap hasil.

Apkah yang dijumpai oleh para penyelidik?

Penyelidik memasukkan 35 kajian yang melibatkan 2702 berumur 15 hingga 78 tahun.

Apabila dibandingkan dengan plasebo, tempoh blok deria dipanjangkan dalam kumpulan dexamethasone perineural sebanyak 6 jam setengah (27 kajian, 1625 peserta, bukti berkualiti rendah) dan dalam kumpulan dexamethasone intravena sebanyak enam jam (8 kajian, 499 peserta , bukti berkualiti sederhana). Apabila dexamethasone perineural dan intravena dibandingkan, tempoh blok deria lebih panjang dalam kumpulan dexamethasone perineural sebanyak tiga jam (9 kajian, 720 peserta, bukti berkualiti sederhana).

Intensiti kesakitan postoperatif pada 12 jam selepas pembedahan adalah lebih rendah dalam kumpulan dexamethasone perineural berbanding dengan plasebo (5 kajian, 257 peserta, bukti berkualiti sangat rendah) dan pada 24 jam selepas pembedahan (9 kajian, 469 peserta, bukti berkualiti rendah). Apabila penyelidik membandingkan dexamethasone intravena dengan plasebo, intensiti sakit postoperatif juga lebih rendah dalam kumpulan dexamethasone intravena daripada dalam kumpulan plasebo pada 12 jam (3 kajian, 162 peserta, bukti berkualiti rendah) dan pada 24 jam (5 kajian, 257 peserta, bukti berkualiti rendah). Jumlah ubat rawatan sakit opioid yang diperlukan juga lebih rendah dalam peserta yang menerima dexamethasone perineural dan intravena. Tiada perbezaan dalam intensiti sakit postoperatif atau jumlah ubat rawatan sakit opioid yang diperlukan apabila dexamethasone perineural dan intravena dibandingkan. Penyelidik membuat kesimpulan bahawa mempraktikkan satu kaedah untuk memberi dexamethasone tidak melegakan kesakitan dengan lebih baik berbanding yang lain.

Lima kesan sampingan yang serius telah dilaporkan dalam tiga kajian. Satu kesan sampingan yang berkaitan dengan blok (pneumothorax atau paru-paru yang mengempis) berlaku dalam satu peserta dalam kajian yang membandingkan dexamethasone perineural dan plasebo; namun alokasi kumpulan tidak dilaporkan. Kejadian yang selebihnya adalah tidak berkaitan dengan blok dan terjadi dalam dua kajian yang membandingkan dexamethasone perineural, dexamethasone intravena dan plasebo. Dua peserta dalam kumpulan kawalan memerlukan kemasukan ke hospital dalam tempoh satu minggu pembedahan; satu untuk jatuh dan satu untuk jangkitan usus. Satu peserta dalam kumpulan plasebo telah mendapat sindrom kesakitan kronik yang dikenali sebagai Sindrom Complex Regional Pain, dan seorang peserta dalam kumpulan dexamethasone intravena mendapat radang paru-paru. Kualiti bukti untuk isu keselamatan adalah sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save