Keberkesanan Skala Penilaian Tingkah Laku Neonatal (NBAS) dan Pemerhatian Tingkah Laku Neonatal (NBO) untuk ibu bapa dan bayi

Latar belakang

Tiga tahun pertama kehidupan kanak-kanak merupakan tempoh utama pembangunan, dan hubungan pengasuh-bayi pada awal umur telah dibuktikan boleh mempengaruhi hasil seterusnya. Kepekaan pengasuh dan keupayaan untuk memahami kelakuan bayi sebagai komunikasi sangat penting untuk pembangunan bayi. Awalnya, Intervensi ringkas seperti Skala Penilaian Tingkah Laku Neonatal (NBAS) atau Pemerhatian Tingkah Laku Neonatal (NBO) berpotensi meningkatkan hasil untuk bayi dan penjaga.

Soalan ulasan

Bagaimana berkesannya NBAS atau NBO untuk meningkatkan hasil terhadap ibu bapa dan bayi?

Kajian yang diambilkira

Kami mendapati 16 kajian dengan sejumlah 851 respondan. Daripada jumlah ini, 13 kajian menilai NBAS dan 3 terhadap NBO. Semua kajian berlaku di Amerika Syarikat antara tahun 1981 dan 2015.

Keputusan

Kami dapat menggabungkan data dari tujuh kajian dalam meta-analisis (kaedah statistik menggabungkan data dari beberapa kajian untuk mencapai satu kesimpulan yang lebih mantap) mengukur kesan NBAS terhadap interaksi penjaga-bayi. Kami mendapati beberapa bukti keberkesanan dari kajian yang berkualiti sangat rendah. Walaubagaimanapun, perbandingan NBAS dengan NBO untuk hasil ini mencadangkan bahawa walaupun NBO menghasilkan saiz kesan yang lebih besar daripada NBAS, perbezaan ini tidak ketara. Satu kajian yang berkualiti rendah menunjukkan kesan positif terhadap pengetahuan pengasuh. Kami mendapati tiada bukti mengenai kesan kepada kemurungan ibu. Kami tidak mengenalpasti sebarang kesan buruk akibat intervensi.

Kualiti kajian

Kami menganggap kualiti data untuk hasil kajian utama menjadi sangat rendah.

Rumusan pengarang

Pada masa ini terdapat bukti yang berkualiti sangat rendah tentang keberkesanan NBAS dan NBO dalam meningkatkan interaksi ibu bapa dan bayi dengan risiko yang rendah, bagi ibu bapa kali pertama dan bayi mereka. Kajian berterusan mengenai NBO akan membantu untuk menentukan kejituan keputusan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save