Terapi berasaskan sel untuk penyakit "amyotrophic lateral sclerosis/motor neuron" (ALS / MND)

Soalan ulasan

Bagaimana berkesan dan selamat kah terapi berasaskan sel pada orang dengan ALS / MND, apabila kita bandingkan dengan rawatan aktif atau tiada rawatan?

Latarbelakang

ALS / MND adalah suatu keadaan di mana saraf di dalam otak dan saraf tunjang yang mengawal pergerakan (neuron motor) tidak berfungsi. Seseorang dengan ALS / MND mempunyai kesukaran bergerak, menelan, mengunyah dan bercakap, yang menjadi lebih teruk dari masa ke masa. Separuh daripada mereka dengan ALS / MND mati dalam tempoh tiga tahun selepas mengalami tanda pertama mereka. Kelemahan otot yang digunakan dalam pernafasan sering membawa kepada kematian. Keadaan ini kini tiada penawar. Sebahagian besar kaedah rawatan semasa memberi tumpuan kepada kelegaan simptom-simptom untuk meningkatkan kualiti hidup mereka yang terjejas. Terapi berasaskan sel boleh ditakrifkan sebagai suntikan bahan selular ke dalam seseorang untuk merawat penyakit. Berdasarkan kajian awal, terapi berasaskan sel adalah rawatan baru yang mempunyai harapan. Pelbagai jenis terapi berasaskan sel boleh digunakan dalam ALS / MND, termasuk terapi sel stem "stem cell". Terapi sel stem bertujuan untuk menyediakan neuron motor baru, yang boleh membantu menghentikan atau melambatkan perkembangan penyakit pada orang dengan ALS.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari pelbagai pangkalan data kajian klinikal.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kami tidak menjumpai apa-apa kajian rawak terkawal yang sudah siap yang menilai kesan terapi berasaskan sel. Empat kajian sedang dijalankan. Disebabkan kajian-kajian awal memberi harapan, kami dengan segera memerlukan kajian besar, dengan rekaan kajian yang baik untuk menentukan sama ada terapi berasaskan sel mempunyai manfaat klinikal di ALS / MND. Matlamat utama kajian masa depan adalah untuk mengenal pasti jenis dan jumlah sel-sel untuk digunakan, dan cara terbaik untuk memberi rawatan.

Bukti-bukti yang terkini pada 21 Jun 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save