Adakah e-pembelajaran lebih berkesan daripada pembelajaran tradisional untuk kakitangan profesional kesihatan?

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada e-pembelajaran, iaitu program interaktif pendidikan dalam talian, lebih berkesan daripada pembelajaran tradisional (dengan tiada akses kepada e-pembelajaran) dalam kalangan kakitangan profesional kesihatan berlesen untuk memperbaik kesan terhadap pesakit atau tingkah laku, kemahiran dan pengetahuan kakitangan profesional kesihatan. Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisa semua bukti yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan mengenalpasti 16 kajian.

Mesej utama

Apabila dibandingkan dengan pembelajaran tradisional, e-pembelajaran mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam memperbaik kesan terhadap pesakit atau tingkah laku dan pengetahuan kakitangan profesional kesihatan, dan adalah tidak pasti sama ada ia meningkatkan atau mengurangkan kemahiran kakitangan profesional kesihatan.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Teknologi moden telah mewujudkan platform baru untuk memajukan pendidikan perubatan. E-pembelajaran telah meraih populariti disebabkan potensi manfaat pengajaran peribadi, yang membolehkan pelajar untuk menyesuaikan kadar dan kandungan kursus mengikut keperluan mereka, meningkatkan kebolehcapaian maklumat untuk pelajar jarak jauh, mengurangkan kos dan memudahkan kandungan dikemas kini dengan kerap.

Ulasan-ulasan terdahulu tidak mendapati perbezaan, tetapi jenis peserta yang terlibat adalah terhad (campuran kakitangan profesional kesihatan berlesen dan pelajar perubatan) dan jenis kajian yang dinilai (kajian rawak serta bukan rawak).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan mengenal pasti 16 kajian berkaitan dari 10 negara berbeza, yang memberikan data tentang 5679 peserta (4759 gabungan profesional kesihatan, 587 jururawat, 300 doktor dan 33 perunding kesihatan penjagaan kanak-kanak). Syarikat telah menaja tiga kajian, manakala agensi kerajaan membiayai enam.

Satu kajian dengan 847 kakitangan profesional kesihatan mendapati sedikit atau tiada perbezaan antara e-pembelajaran dan pembelajaran tradisional dalam kesan terhadap pesakit pada satu tahun, dan dua kajian dengan 950 kakitangan profesional kesihatan mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam tingkah laku kakitangan profesional kesihatan pada 3 hingga 12 bulan, kerana kepastian bukti adalah rendah. Kami tidak pasti sama ada e-pembelajaran meningkatkan atau mengurangkan kemahiran kakitangan profesional kesihatan pada 0 hingga 12 minggu susulan, berdasarkan keputusan enam kajian dengan 2912 peserta dan kepastian bukti yang sangat rendah. E-pembelajaran juga mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada pengetahuan kakitangan profesional kesihatan, berdasarkan keputusan daripada 11 kajian dengan 3236 peserta pada 0 hingga 12 minggu susulan, kerana kepastian bukti adalah rendah.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan setakat Julai 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information