Kesan intervensi pemakanan bagi meningkatkan status pemakanan dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di kawasan setinggan bandar di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana

UN-Habitat menganggarkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya satu bilion penduduk yang tinggal di kawasan setinggan bandar, iaitu tempat-tempat di bandar-bandar tanpa akses yang mencukupi untuk rawatan kesihatan, air bersih, dan sanitasi. Untuk tinjauan ini, kami mendefinisikan perumahan tidak rasmi atau kawasan setinggan berpendapatan rendah sebagai tempat tinggal yang kekurangan satu atau lebih petunjuk perkhidmatan asas atau infrastruktur. Lebih daripada 90% daripada kawasan setinggan ini berada di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana dan penduduknya biasanya hidup dalam kemiskinan, dengan sedikit jaminan makanan. Salah satu akibat daripada pemakanan yang tidak mencukupi adalah tumbesaran terbantut, iaitu ketinggian yang sangat pendek untuk usia. Tumbesaran terbantut telah dikaitkan dengan kecenderungan yang lebih tinggi terhadap jangkitan, masalah-masalah kognitif (daya ingatan dan kemahiran berfikir) dan tingkah laku, serta prestasi kerja dan pendapatan ketika dewasa yang lebih rendah. Kira-kira 25% daripada kanak-kanak yang tinggal di kawasan bandar di negara berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi tumbesaran terbantut. Di kawasan setinggan, angka ini adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, di Dhaka, Bangladesh kadar tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah 48%, dan di Pune, India adalah 59%.

Kaedah pemakanan (intervensi) untuk meningkatkan tumbesaran bayi dan kanak-kanak belum dinilai secara menyeluruh atau sistematik untuk kawasan setinggan bandar. Kami merangkumkan 15 kajian dalam tinjauan ini, yang melibatkan 9261 kanak-kanak berumur kurang dari lima tahun dan 3664 wanita hamil. Kira-kira 73% daripada kanak-kanak berumur kurang dari satu tahun. Intervensi tersebut memberikan pendidikan keibuan; nutrien tambahan bagi ibu, bayi, dan kanak-kanak; meningkatkan sistem pemakanan; atau gabungan antara hal ini tetapi tidak melibatkan pengubahsuaian diet. Kebolehpercayaan bagi kajian-kajian tersebut secara keseluruhannya adalah sangat rendah hingga sederhana kerana kajian-kajian tersebut tidak dirancang untuk mengatasi masalah penyelidikan yang berkaitan dengan komuniti setinggan bandar, seperti mobiliti tinggi dan kehilangan peserta yang tinggi untuk susulan. Ini bermakna keberkesanan intervensi tidak dapat dinilai dengan baik pada tarikh kemudiannya.

Kami menilai kesan intervensi dengan mengambil kira kepentingan statistik dan klinikal. Apabila hasil intervensi secara statistiknya tidak signifikan, kami menyimpulkan bahawa terdapat 'kesan tidak jelas'.

Pemberian nutrien tambahan kepada ibu tiada kesan pada berat dan panjang kelahiran, pemberian nutrien tambahan kepada bayi dan kanak-kanak untuk meningkatkan ketinggian atau status tumbesaran terbantut kanak-kanak menunjukkan hasil yang tidak dapat disimpulkan, terdapat kesan positif terhadap berat kelahiran melalui intervensi pendidikan keibuan yang mana terdapat perbezaan positif sebanyak 478 g pada berat kelahiran bagi bayi yang didedahkan kepada intervensi, serta peningkatan sistem kesihatan pemakanan menunjukkan hasil yang tidak dapat disimpulkan pada status tumbesaran terbantut kanak-kanak dan kesan positif pada ketinggian. Tiada kesan sampingan yang dilaporkan dari intervensi-intervensi ini.

Tinjauan ini menunjukkan keperluan untuk lebih memahami persekitaran setinggan bandar dan penduduknya kerana bukti menunjukkan bahawa intervensi yang dirangkumkan dalam tinjauan ini telah berjaya di lokasi lain di luar kawasan miskin bandar. Lebih banyak bukti adalah diperlukan mengenai kesan intervensi pelbagai sektor, yang menggabungkan kaedah dan program pemakanan yang spesifik dan sensitif, serta kesan amalan dan dasar ‘up-stream’ kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan sektor perniagaan bagi memperbaiki berat lahir yang rendah dan tumbesaran terbantut di persekitaran bandar yang miskin.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information