Rawatan komplikasi gigi dalam penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Kami merancang untuk mengulas bukti mengenai rawatan komplikasi gigi dalam kalangan pesakit sel sabit.

Latar belakang

Penyakit sel sabit adalah sejenis gangguan darah yang menjejaskan sekurang-kurangnya 5.2% daripada penduduk dunia merentasi sebilangan besar negara. Dalam keadaan ini, kecacatan genetik menyebabkan haemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal, iaitu sel-sel darah bertukar bentuk kepada sabit dan bukan bentuk cakera yang normal. Sel-sel ini akan terperangkap dalam saluran darah pelbagai organ, terutamanya dalam keadaan yang memberi tekanan seperti kekurangan oksigen, dehidrasi, suhu yang melampau, tekanan, haid dan jangkitan. Saluran darah yang tersumbat akan membawa kepada episod tiba-tiba melibatkan kesakitan yang teruk dalam jangka pendek dan kerosakan organ kronik dalam jangka panjang.

Penyakit sel sabit juga menyebabkan perubahan dan komplikasi pada mulut, rahang dan kawasan muka. Pengurusan komplikasi gigi ini sering diabaikan kerana pesakit sel sabit memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengekalkan kesihatan umum mereka memandangkan mereka menghidapi gangguan darah yang serius. Pengabaian isu kecil kesihatan gigi dalam keadaan ini bukan sahaja menyebabkan masalah ini bertambah buruk, tetapi juga boleh menyebabkan krisis sel sabit yang menyakitkan dan memerlukan kemasukan hospital kecemasan. Rawatan komplikasi oral dalam kalangan pesakit ini perlu disesuaikan untuk gangguan darah mereka, supaya tidak menyebabkan kemerosotan yang berlanjutan kepada kesihatan umum mereka.

Terdapat kekurangan maklumat mengenai rawatan yang sesuai untuk komplikasi gigi pada pesakit sel sabit, dan tidak ada garis panduan yang jelas. Ini mengakibatkan banyak pesakit yang ditolak rawatannya oleh doktor gigi kerana bimbang akan komplikasi. Oleh itu, kami merancang untuk menyiasat isu ini dan menyediakan bukti dalam bidang ini untuk pembekal penjagaan kesihatan dan pesakit.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 01 Ogos 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami tidak dapat mencari apa-apa ujian terkawal rawak yang menilai rawatan untuk komplikasi gigi dalam kalangan pesakit sel sabit.

Keputusan-keputusan utama
Tiada kajian yang telah dikenal pasti, maka kami tidak dapat mengeluarkan apa-apa kesimpulan atau menonjolkan apa-apa implikasi untuk diamalkan. Kajian adalah diperlukan untuk menentukan rawatan yang terbaik untuk masalah gigi dalam kalangan pesakit sel sabit.

Kualiti bukti

Tidak terdapat bukti daripada kajian-kajian (di mana pesakit diberi satu rawatan atau yang lain secara rawak) untuk apa-apa rawatan tentang komplikasi gigi dalam kalangan pesakit sel sabit.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my

Tools
Information