Intervensi untuk mencegah sembelit selepas melahirkan

Apakah isunya?

Sembelit dalam tempoh selepas bersalin adalah gangguan usus, yang disifatkan oleh gejala, seperti sakit atau ketidakselesaan, ketegangan, najis keras, dan rasa pengosongan usus yang tidak lengkap. Pemberian enema sebelum bersalin, kemampuan wanita untuk makan semasa bersalin aktif, dan tabiat makan yang tidak teratur dan berubah-ubah selama beberapa hari pertama selepas bersalin boleh mempengaruhi pergerakan usus pada hari hari selepas melahirkan. Ini adalah kemas kini ulasan yang pertama diterbitkan pada 2015.

Kenapa ini penting?

Kesakitan dan ketidakselesaan semasa membuang air besar dapat menjadi perhatian ibu baru, yang sedang pulih dari tekanan bersalin, terutama jika mengalami perineal terkoyak yang diperbaiki, atau mengalami buasir. Sembelit selepas bersalin boleh menjadi tekanan kerana tekanan yang tidak semestinya pada dinding rektum, menyebabkan kegelisahan dan buang air besar yang menyakitkan, yang boleh mempengaruhi kualiti hidup ibu dan bayi yang baru lahir.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari kajian sehingga 7 Oktober 2019. Kami tidak menemui kajian baru yang memenuhi kriteria penyertaan kami, oleh itu, kami memasukkan lima kajian awal (yang melibatkan sejumlah 1208 wanita) dalam kemas kini ini. Secara keseluruhan, kajian kurang dilaporkan, dan empat dari lima kajian diterbitkan lebih dari 40 tahun yang lalu. Empat kajian membandingkan ubat julap dengan plasebo.

Dua kajian menilai kesan ubat julap yang kini kita dapati mungkin berbahaya bagi ibu menyusu. Satu ubat, Danthron, terbukti menyebabkan barah pada haiwan, dan satu lagi, Bisoxatin asetat, tidak lagi disyorkan ketika menyusui. Oleh itu, kami tidak memasukkan hasil kajian ini dalam penemuan utama kami.

Kajian tidak melihat kesakitan atau ketegangan pada buang air besar, kejadian sembelit, atau kualiti hidup, tetapi menilai waktu untuk buang air besar pertama. Dalam satu kajian yang menilai kesan senna, berbanding dengan kumpulan plasebo, lebih banyak wanita dalam kumpulan julap mengalami pergerakan usus pada hari bersalin, dan lebih sedikit wanita mengalami pergerakan usus pertama pada hari 2 dan 3, sementara hasilnya tidak dapat disimpulkan antara kumpulan pada hari 1 dan 4 selepas bersalin. Lebih banyak wanita mengalami kekejangan perut berbanding wanita dalam kumpulan plasebo, dan bayi yang ibunya mendapat ubat julap tidak mungkin mengalami najis cair atau cirit-birit. Bukti untuk sebahagian besar hasil ini tidak pasti, kerana kami mempunyai kebimbangan yang sangat serius mengenai risiko berat sebelah, dan hasilnya semua berdasarkan pada satu kajian kecil yang dilakukan di satu institusi di Afrika Selatan.

Satu kajian membandingkan julap dan agen najis pukal (sekam Ispaghula) dengan julap hanya untuk wanita yang menjalani pembedahan untuk memperbaiki perineum terkoyak tahap ketiga (yang melibatkan otot sfingter dubur dalaman atau luaran) yang berlaku semasa kelahiran faraj. Kajian tersebut melaporkan kesakitan atau ketegangan ketika membuang air besar, tetapi tidak menemui perbezaan yang jelas dalam skor kesakitan antara kumpulan. Kajian tersebut melaporkan bahawa wanita yang diberi julap serta agen najis pukal lebih cenderung mengalami inkontinensia najis dalam tempoh selepas bersalin. Walau bagaimanapun, bukti itu adalah sangat tidak pasti. Kajian tidak melaporkan kesan buruk pada bayi.

Apakah maksudnya?

Tidak ada bukti yang cukup dari kajian terkawal secara rawak mengenai keberkesanan dan keselamatan ubat julap dalam tempoh awal selepas bersalin untuk membuat kesimpulan umum mengenai penggunaannya untuk mencegah sembelit.

Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang menilai intervensi pendidikan atau tingkah laku, seperti diet serat yang tinggi dan senaman. Kami memerlukan kajian yang besar dan berkualiti tinggi mengenai topik ini, khususnya pada itnervensi bukan perubatan untuk mencegah sembelit selepas bersalin, seperti nasihat mengenai diet dan aktiviti fizikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save