Pakaian perlindungan dan peralatan pekerja penjagaan kesihatan untuk mencegah jangkitan koronavirus dan penyakit lain yang mudah berjangkit

Latar belakang

Pekerja penjagaan kesihatan yang merawat pesakit dengan jangkitan seperti koronavirus (COVID-19) berisiko dijangkiti. Pekerja penjagaan kesihatan menggunakan Peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk melindungi diri mereka dari titisan dari batuk, bersin atau cecair badan lain daripada pesakit yang dijangkiti dan permukaan yang tercemar yang mungkin menjangkiti mereka. PPE mungkin termasuk apron, gaun atau baju (sut satu keping), sarung tangan, topeng dan peralatan bernafas (respirator), dan gogel. PPE mesti dilpakai dengan betul; ia mungkin tidak selesa dipakai, dan pekerja penjagaan kesihatan boleh mencemarkan diri mereka apabila menanggalkannya. Sesetengah PPE telah diubahsuai, contohnya, dengan menambah tab untuk memudahkan penanggalan. Panduan prosedur yang betul untuk memakai dan menanggalkan PPE tersedia oleh organisasi seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat.

Ini adalah kemaskini ulasan 2020 yang pertama kali diterbitkan pada 2016 dan kemaskini terdahulu pada 2019.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin tahu:

apakah jenis PPE atau kombinasi PPE yang memberi pekerja penjagaan kesihatan perlindungan terbaik;

sama ada mengubahsuai PPE untuk penanggalan lebih mudah adalah berkesan;

sama ada mematuhi panduan penanggalan PPE mengurangkan pencemaran;

sama ada latihan mengurangkan pencemaran.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati 24 kajian yang relevan dengan 2278 peserta yang menilai jenis PPE, PPE diubahsuai, prosedur memakai dan menanggalkan PPE, dan jenis latihan. Lapan belas dari kajian tersebut tidak menilai pekerja penjagaan kesihatan yang merawat pesakit yang dijangkiti tetapi simulasi kesan pendedahan kepada jangkitan menggunakan penanda pendarfluor atau virus atau bakteria yang tidak berbahaya. Kebanyakan kajian adalah kecil, dan hanya satu atau dua kajian yang menangani setiap soalan kami.

Jenis PPE

Menutup lebih bahagian badan membawa perlindungan lebih baik. Walau bagaimanapun, oleh kerana ini sering dikaitkan dengan peningkatan kesukaran memakai dan menanggalkan PPE, dan PPE adalah kurang selesa. Baju adalah PPE yang paling sukar untuk ditanggalkan tetapi mungkin menawarkan perlindungan terbaik, diikuti oleh gaun panjang, gaun dan apron. Respirator yang dipakai dengan baju mungkin lebih melindungi daipada topeng yang dipakai dengan gaun, tetapi lebih sukar untuk dipakai. PPE yang memudahkan bernafas boleh menyebabkan tahap pencemaran yang sama tetapi lebih selesa. Pencemaran adalah lazim di dalam separuh daripada kajian walaupun PPE diperbaik.

PPE diubahsuai

Gaun dengan sarung tangan yang terlekat pada kaf, supaya sarung tangan dan gaun ditanggalkan bersama dan meliputi kawasan pergelangan tangan, dan gaun yang diubahsuai untuk muatan ketat pada leher boleh mengurangkan pencemaran. Juga, menambah tab kepada sarung tangan dan topeng muka boleh mengurangkan pencemaran. Walau bagaimanapun, satu kajian tidak mendapati kurang kesilapan dalam memakai atau menanggalkan gaun yang diubahsuai.

Panduan penggunaan PPE

Mematuhi panduan CDC untuk menanggalkan apron atau gaun, atau sebarang arahan untuk menanggalkan PPE berbanding keutamaan individu boleh mengurangkan pencemaran diri. Menanggalkan gaun dan sarung tangan dalam satu langkah, menggunakan dua pasang sarung tangan, dan membersihkan sarung tangan dengan peluntur atau disinfektan (tetapi bukan alkohol) juga boleh mengurangkan pencemaran.

Melatih pengguna

Latihan bersemuka, simulasi komputer dan latihan video mengurangkan kesilapan dalam menanggalkan PPE daripada latihan dalam bentuk bertulis sahaja atau kuliah tradisional.

Kepastian bukti

Kepastian (keyakinan) kami dalam bukti ini adalah terhad kerana kajian simulasi jangkitan (iaitu ia tidak benar), dan kajian-kajian mempunyai bilangan kecil peserta.

Apakah yang kami masih perlu tahu?

Tiada kajian yang menyiasat gogel atau pelindung muka. Kami tidak jelas tentang cara terbaik menanggalkan PPE selepas diguna dan jenis latihan jangka masa panjang yang terbaik.

Hospital perlu menganjur lebih banyak kajian, dan para penyelidik perlu bersetuju dengan cara terbaik untuk mensimulasi pendedahan kepada virus.

Di masa hadapan kajian simulasi memerlukan sekurang-kurangnya 60 peserta dan mengguna pendedahan virus yang tidak berbahaya untuk menilai jenis dan kombinasi PPE yang paling melindungi.

Ia akan membantu jika hospital boleh mendaftar dan merekodkan jenis PPE yang diguna oleh pekerja mereka untuk memberi maklumat sebenar yang diperlukan segera.

Tarikh carian

Ulasan ini memasukkan semua bukti yang diterbitkan sehingga 20 Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Di terjemah oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information