Pakaian dan peralatan untuk kakitangan penjagaan kesihatan bagi mencegah Ebola dan lain-lain penyakit yang mudah berjangkit.

Kakitangan penjagaan kesihatan berisiko jangkitan seperti penyakit virus Ebola dan SARS. Salah satu cara untuk mencegah jangkitan adalah dengan menggunakan peralatan perlindungan peribadi, seperti pakaian perlindungan, sarung tangan, topeng, dan gogel untuk mencegah pencemaran pekerja. Masih tidak jelas jenis peralatan mana yang melindungi lebih baik dan bagaimana cara terbaik ia boleh dibuang selepas diguna. Juga tidak jelas apakah cara terbaik untuk melatih pekerja mematuhi panduan bagi peralatan ini.

Kajian mendapati

Kami mendapati 17 kajian dengan 1950 peserta yang menilai 21 intervensi. Kami membahagikan kajian kepada tiga kategori: membandingkan jenis pakaian perlindungan, membandingkan cara mengenakannya dan menanggalnya, dan pelbagai cara untuk melatih pekerja penjagaan kesihatan mengguna pakaian perlindungan. Dua belas daripada kajian tersebut menggunakan penanda pendarfluor atau virus yang tidak berbahaya untuk simulasi apa yang berlaku di hospital. Dua kajian telah dijalankan dalam keadaan lapangan: satu semasa wabak SARS pada 2003 dan satu semasa wabak Ebola pada 2015. Tiga kajian dengan 962 peserta membandingkan kesan latihan aktif penggunaan peralatan perlindungan berbanding latihan pasif. Semua kajian mempunyai risiko bias yang tidak jelas atau risiko bias tinggi.

Pelbagai jenis pakaian dibandingkan

Walaupun dengan pakaian pelindung, penanda pendarfluor ditemui pada10% hingga 100% pekerja. Di dalam satu kajian, pakaian yang senang bernafas tidak membawa kepada lebih pencemaran berbanding pakaian yang tidak boleh bernafas, tetapi pengguna lebih berpuas hati. Gaun membawa kurang pencemaran berbanding apron dalam kajian yang lain. Empat kajian menilai perubahan kepada pakaian pelindung untuk menjadikannya lebih mudah ditanggalkan. Gaun dengan sarung tangan terlekat pada kaf yang ditanggalkan bersama membawa kepada kurang pencemaran berbanding gaun dan sarung tangan yang ditanggalkan secara berasingan. Kajian-kajian yang mengubahsuai sarung tangan dan topeng muka dengan tab untuk cengkaman apabila menanggalkan pakaian perlindungan membawa kepada kurang pencemaran. Empat kajian tidak melaporkan cukup data untuk membolehkan rumusan. Bukti ini adalah berkualiti rendah.

Pelbagai jenis penanggalan pakaian dibandingkan

Dalam satu kajian, penggunaan dua pasang sarung tangan menunjukkan kurang pencemaran berbanding sepasang sarung tangan sahaja. Dalam kajian lain yang menggunakan dua pasang sarung tangan, menggunakan sanitizer berasaskan alkohol untuk membersihkan sarung tangan dalaman tidak mengurangkan pencemaran berbanding larutan hipoklorit. Dalam kajian lain, mengikut panduan CDC untuk penanggalan apron atau gaun menunjukkan kurang pencemaran. Satu kajian mendapati mereka yang diberi arahan lisan bagaimana menanggalkan pakaian pelindung yang tercemar adalah kurang tercemar berbanding mereka yang tidak mendapat arahan lisan. Satu kajian tidak melaporkan cukup data bagi membolehkan rumusan. Bukti ini adalah berkualiti rendah.

Latihan aktif

Latihan aktif, termasuk simulasi komputer menunjukkan kurang kesilapan tentang panduan pakaian perlindungan yang patut diguna dan cara menanggalkannya dalam kalangan kakitangan penjagaan kesihatan berbanding latihan pasif. Dalam satu kajian, peserta yang menonton video, berbanding dengan kuliah tradisional tentang bagaimana dengan betul memakai pakaian pelindung mempunyai markah yang lebih baik apabila diuji bagaimana untuk memakai pakaian pelindung.

Kualiti bukti

Kami menilai bukti adalah berkualiti sangat rendah kerana limitasi di dalam kajian, tidak langsung dan bilangan peserta yang kecil.

Apakah yang kami perlu tahu?

Tiada kajian mengenai kesan gogel atau pelindung muka. Penyelidik perlu bersetuju dengan cara terbaik untuk simulasi pendedahan. Lebih banyak kajian simulasi diperlukan dengan sekurang-kurangnya 60 peserta, seelok-eloknya menggunakan dedahan virus yang tidak berbahaya, untuk mengetahui jenis dan kombinasi yang paling melindungi. Cara terbaik untuk menanggalkan pakaian perlindungan selepas digunakan juga tidak jelas. Kami juga memerlukan kajian untuk mengetahui latihan yang terbaik dalam jangka masa panjang. Kakitangan penjagaan kesihatan yang terdedah kepada penyakit berjangkit harus mendaftarkan peralatan perlindungan mereka dan disusuli untuk risiko jangkitan. Kami menggesa NGO untuk menganjurkan lebih banyak kajian dan mendaftar dan merekodkan jenis PPE yang digunakan oleh pekerja mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nila@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save