Ketamine dan lain-lain modulator reseptor glutamat untuk kemurungan dalam kalangan orang dewasa

Mengapakah ulasan ini penting?

Kemurungan adalah salah satu gangguan mental yang paling kerap dialami, dianggarkan dialami oleh 350 juta orang di seluruh dunia. Ubat antikemurungan cenderung diberikan sebagai rawatan pertama bagi orang yang mengalami kemurungan major. Walau bagaimanapun, ubat ini hanya berkesan pada sekitar satu daripada empat orang dalam setahun. Ubat-ubatan alternatif yang berkesan untuk mengatasi kemurungan sangat diperlukan, terutamanya untuk rawatan yang cepat. Satu kumpulan ubat yang baru dipanggil 'modulator reseptor glutamat', yang bertindak pada sistem glutamergik. Kumpulan ini adalah termasuk ubat ketamine. Dalam ulasan ini kami meneliti bukti untuk modulator reseptor glutamat, termasuk ketamine, sebagai rawatan untuk kemurungan.

Siapakah yang akan berminat dalam ulasan ini?

- Orang yang mengalami kemurungan, rakan-rakan mereka dan keluarga mereka.

- Pengamal perubatan am, pakar psikiatri, ahli psikologi, dan ahli farmasi.

• Profesional yang bekerja dalam bidang perkhidmatan kesihatan mental orang dewasa.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

1. Adakah rawatan dengan ketamine dan modulator reseptor glutamat lain lebih berkesan daripada rawatan dengan plasebo (pil dummy) atau ubat lain?

2. Adakah rawatan dengan ketamine dan modulator reseptor glutamat lain lebih diterima daripada plasebo atau ubat lain?

Kajian manakah yang dimasukkan dalam ulasan ini?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk mendapatkan semua kajian berkaitan (kajian rawak terkawal) yang telah selesai dijalankan sehingga 30 Julai 2020. Untuk disertakan dalam ulasan, kajian harus membandingkan ketamine atau modulator reseptor glutamat lain dengan plasebo, ubat lain atau terapi elektrokonvulsif (ECT) untuk kemurungan dalam kalangan orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas). Kajian juga harus buta tunggal (peserta tidak mengetahui rawatan mana yang mereka terima) atau buta berganda (peserta dan penyelidik tidak mengetahui rawatan yang diterima oleh peserta), untuk mengurangkan berat sebelah. Kami menyertakan 64 kajian yang melibatkan 5299 peserta di dalam ulasan ini. Kajian-kajian tersebut mengkaji 16 modulator reseptor glutamat yang berbeza. Sebilangan besar peserta mengalami kemurungan yang tahan rawatan (kemurungan yang tidak memberi tindak balas kepada dua atau lebih ubat) pada awal kajian. Sebilangan besar kajian mempunyai dua kumpulan rawatan (two-armed), di mana modulator reseptor glutamat dibandingkan dengan satu lagi intervensi yang berlainan.

Apakah yang dibuktikan oleh ulasan ini?

Antara 16 ubat yang disertakan dalam ulasan ini, hanya ketamine dan esketamine lebih berkesan daripada plasebo dalam mengurangkan gejala kemurungan. Kesan ketamine bertahan tidak lebih dari satu minggu selepas rawatan dan hilang dengan jelas setelah dua minggu. Walau bagaimanapun, ketamine menyebabkan lebih banyak kesan sampingan daripada plasebo. Kesan esketamine dilihat pada 24 jam dan boleh bertahan hingga empat minggu dengan dos berulang. Esketamine menyebabkan lebih banyak kesan sampingan daripada plasebo. Kepastian bukti sangat berbeza.

Tiada bukti bagi perbezaan antara modulator reseptor glutamat lain yang disertakan dalam ulasan ini dan plasebo atau ubat lain.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Ketamine dan esketamine nampaknya dapat mengurangkan gejala kemurungan. Walau bagaimanapun, semua kajian adalah jangka pendek sehingga kita tidak tahu mengenai kesan jangka panjang. Adalah penting untuk mengetahui bahawa dalam beberapa kajian, percubaan untuk mencegah peserta dan penyiasat daripada mengetahui ubat apa yang diberikan tidak berjaya dan ini mungkin meningkatkan kesan positif ubat aktif.

Kajian masa depan harus mengkaji apa yang berlaku apabila orang diberi ubat tersebut berulang kali, dengan tujuan untuk meniru amalan semasa dan menilai kesan jangka panjang. Lebih banyak kajian yang mengkaji sama ada rawatan baru adalah lebih baik daripada rawatan aktif (non-inferiority trials) harus dijalankan, di mana modulator reseptor glutamat dibandingkan dengan ubat aktif lain dan bukannya plasebo untuk mengetahui sama ada ia lebih baik daripada rawatan alternatif.

Dalam kebanyakan kajian ketamine dalam ulasan ini, peserta diberikan ubat melalui suntikan ke dalam salur darah. Ini menyekat penggunaan ketamine secara besar-besaran dalam tetapan klinikal, oleh itu, kajian ketamine melalui kaedah lain diperlukan. Ujian esketamine biasanya menggunakan semburan hidung, yang lebih mudah digunakan dan berpotensi untuk diambil di rumah jika pemantauan dan kajian lebih lanjut mendapati bahawa ia selamat dilakukan. Kajian lanjut yang menilai pemberian ubat diperlukan untuk membuat kesimpulan yang lebih dipercayai dan jitu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Bin Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information