Dalam COPD stabil, perlukah kortikosteroid disedut digunakan dengan kombinasi sedutan agonis beta bertindak jangka panjang / antagonis muscarinic bertindak jangka panjang ?

Mengapa soalan ini penting?

Penyakit paru-paru kronik obstruktif (COPD), yang termasuk bronkitis kronik dan emfisema, adalah penyakit paru-paru jangka panjang yang sering dikaitkan dengan merokok. Pesakit COPD mengalami gejala berterusan seperti sesak nafas, batuk dan pengeluaran kahak. COPD biasanya dirawat dengan beberapa ubat-ubatan yang disedut. Ubat-ubatan ini misalnya bronkodilator bertindak jangka panjang (LABA dan LAMA) yang membuka (membesarkan) saluran pernafasan; dan kortikosteroid disedut (ICS), yang merupakan ubat yang menyekat keradangan pada saluran pernafasan. Dalam beberapa individu yang mengalami gejala berterusan atau eksaserbasi kerap (episod di mana gejala-gejala penyakit menjadi lebih buruk), ketiga-tiga kelas ubat-ubatan sedutan ini digunakan.

Bronkodilator LABA dan LAMA kini boleh didapati dalam penyedut gabungan tunggal. Penyedut gabungan telah didapati boleh meningkatkan tahap kepatuhan pesakit dan menambahbaik gejala penyakit. Pada masa kini, ianya tidak jelas sama ada menggunakan ICS sebagai tambahan kepada penyedut gabungan LABA / LAMA boleh memberikan apa-apa manfaat terapeutik tambahan atau lebih banyak risiko kesan sampingan.

Bagaimana kita menjawab soalan ini?

Kami mencari semua kajian yang membandingkan rawatan COPD stabil yang menggunapakai ICS sebagai tambahan kepada gabungan sedutan LABA / LAMA dan yang menggunapakai gabungan penyedut LABA / LAMA sahaja. Proses ini melibatkan carian terperinci pelbagai pangkalan data elektronik bagi kajian sehingga 9 Disember 2015.

Apakah bukti yang kami jumpai?

Ulasan kami tidak mengenal pasti kajian yang menilai faedah dan risiko relatif kedua-dua strategi rawatan.

Kesimpulan

Tiada kajian yang berkaitan telah diterbitkan setakat ini. Kajian kami tidak boleh mengesahkan apa-apa faedah dalam menambahkan ICS kepada penyedut gabungan LABA / LAMA untuk rawatan COPD stabil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Teguh Haryo Sasongko (International Medical University). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.

Tools
Information