Adakah vitamin D berkesan dan selamat sebagai rawatan tambahan kepada antibiotik untuk merawat kanak-kanak dengan radang paru-paru akut?

Apakah radang paru-paru, dan bagaimana ia boleh dirawat?

Pneumonia adalah keradangan (bengkak) pada paru-paru yang disebabkan oleh jangkitan. Rawatan bagi radang paru-paru termasuklah antibiotik, pemberian oksigen melalui topeng, dan terapi sokongan lain. Vitamin D meningkatkan daya tahan imun badan dan mengurangkan keradangan yang berlebihan: kesan ini boleh membantu kanak-kanak pulih daripada episod radang paru-paru.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada vitamin D, yang diambil bersama dengan antibiotik, boleh membantu kanak-kanak pulih daripada episod radang paru-paru.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji vitamin D berbanding dengan plasebo (rawatan palsu) pada kanak-kanak berumur antara satu bulan hingga lima tahun yang menghidap radang paru-paru. Kami membandingkan dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tujuh kajian yang melibatkan 1601 kanak-kanak dari negara berpendapatan rendah dan sederhana. Dalam lima kajian, kanak-kanak menerima satu dos besar vitamin D apabila mereka menyertai kajian atau dalam masa 24 jam selepas dimasukkan ke hospital. Dalam dua kajian, kanak-kanak menerima vitamin D selama lima hari. Satu kajian mengecualikan kanak-kanak yang mempunyai tahap vitamin D yang normal. Dua kajian melaporkan punca radang paru-paru kanak-kanak.

Hasil utama

Vitamin D mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada masa yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk sembuh daripada radang paru-paru. Kami tidak tahu sama ada vitamin D mempunyai kesan ke atas masa kanak-kanak menghabiskan masa di hospital atau terhadap bilangan kanak-kanak yang meninggal dunia. Kajian tidak melaporkan kejadian berbahaya yang besar.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami hanya mempunyai keyakinan sederhana terhadap bukti mengenai masa kanak-kanak pulih daripada radang paru-paru, kerana semua kanak-kanak dalam perbandingan ini adalah dari kawasan berpendapatan rendah, jadi hasilnya mungkin tidak terpakai kepada populasi berpendapatan tinggi. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti tentang kadar kematian, kerana masalah kebolehgunaan yang sama yang digariskan di atas, dan kerana keputusannya seimbang di antara manfaat dan bahaya yang ketara. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti mengenai masa yang dihabiskan di hospital, kerana masalah kebolehgunaan yang sama yang digariskan di atas, kerana kanak-kanak dan penyedia kesihatan dalam satu kajian tahu tentang rawatan yang diberikan, dan kerana keputusannya sangat tidak konsisten merentas kajian yang disertakan di dalam perbandingan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 28 Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Dikemskini. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information