Rawatan pergigian untuk mencegah kerosakan tulang rahang dalam kalangan pesakit kanser yang menerima radioterapi kepala dan leher

Soalan ulasan

Dengan Ulasan Cochrane ini, kami berusaha mencari cara terbaik untuk mencegah kematian dan pendedahan tulang rahang pesakit yang telah menjalani radioterapi untuk kanser kepala dan leher. Keadaan ini dipanggil osteoradionekrosis (ORN).

Latar belakang

ORN rahang adalah masalah serius yang boleh berlaku selepas orang menjalani radioterapi sebagai sebahagian daripada rawatan untuk kanser kepala dan leher. ORN merujuk kepada kematian dan pendedahan tulang akibat kerosakan tisu kerana terdedah kepada radiasi. ORN sangat sukar dirawat dan adalah penting untuk mengambil langkah-langkah bagi mencegahnya. Dalam ulasan ini, kami melihat kepada sebarang rawatan yang telah diguna untuk mencegah ORN.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini adalah terkini sehingga 5 November 2019. Ulasan ini memasukkan empat kajian melibatkan 342 orang dewasa yang telah menerima radioterapi untuk rawatan kanser kepala dan leher. Ulasan ini melihat tiga cara berbeza untuk mencegah ORN:

- penggunaan plasma yang kaya platelet (PRP) dalam tulang setelah pembuangan gigi yang sihat sebelum radioterapi. Plasma adalah bahagian darah yang mengandungi protein khas yang membantu darah klot, dan PRP adalah plasma pekat yang menyokong pertumbuhan sel. Menyuntik PRP ke dalam tisu yang rosak dapat merangsang tubuh untuk menumbuhkan sel baharu yang sihat untuk membuat kesembuhan lebih cepat;

- mencabut gigi kerana kerosakan gigi meningkatkan risiko perkembangan ORN. Mencegah kerosakan gigi bagi pesakit yang menjalani radioterapi adalah sangat penting. Kami melihat kajian yang membandingkan penggunaan gel fluorida dengan ubat gigi dengan paras fluorida lebih tinggi dari normal untuk mencegah kerosakan gigi selepas radioterapi;

- terapi oksigen hiperbarik adalah menyedut oksigen dalam kebuk bertekanan untuk memperbaiki bekalan darah, yang boleh membantu tisu rosak sembuh. Dua kajian membandingkan penggunaan terapi oksigen hiperbarik untuk mencabut gigi atau meletakkan implan gigi dengan antibiotik. Antibiotik adalah ubat yang menghentikan atau memperlahankan pertumbuhan bakteria.

Keputusan utama

Satu kajian menunjukkan tiada pengurangan ORN apabila menggunakan plasma yang kaya dengan platelet pada tulang setelah gigi yang sihat dicabut. Satu lagi kajian mendapati tiada perbezaan antara gel fluorida dan ubat gigi dengan paras fluorida yang lebih tinggi dari normal kerana tiada kes ORN yang dilaporkan. Kajian ketiga menunjukkan rawatan dengan terapi oksigen hiperbarik menyebabkan pengurangan perkembangan ORN berbanding dengan pesakit yang dirawat dengan antibiotik setelah gigi dicabut. Kajian keempat tidak mendapati perbezaan antara gabungan terapi oksigen hiperbarik dan antibiotik berbanding antibiotik sahaja.

Kesan mudarat pelbagai intervensi tidak dilaporkan ataupun tidak penting.

Kepastian bukti

Tahap kepastian kami dalam dapatan-dapatan ini adalah sangat rendah. Ini adalah akibat risiko bias yang tinggi, tidak semua kajian menyatakan perincian penting, dan bilangan kecil orang yang dikaji di dalam keempat-empat kajian tersebut.

Kesimpulan

Kami tidak punya cukup bukti untuk menyatakan intervensi mana lebih baik untuk menghentikan ORN rahang daripada berlaku atau menjadikannya kurang serius dalam kalangan dewasa yang menerima radioterapi kepala dan leher. Kami cadangkan lebih banyak kajian besar yang dilaksana dengan baik, melibatkan lebih ramai orang perlu dilakukan dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save