Penggunaan peranti berdiri untuk kanak-kanak lelaki dengan distrofi otot Duchenne

Soalan ulasan

Apakah kesan menggunakan peranti berdiri bagi kanak-kanak lelaki dengan distrofi otot Duchenne (DMD)?

Latar belakang

DMD adalah satu keadaan yang hanya menjejaskan kanak-kanak lelaki. Kehilangan jisim otot yang progresif yang berlaku bersama keadaan ini mengakibatkan pengurangan dalam keupayaan berjalan sehingga akhirnya, memerlukan penggunaan kerusi roda untuk pergerakan. Peralatan pakar digunakan secara rutin untuk membantu kanak-kanak lelaki dengan DMD untuk berdiri atau menampung berat badan. Peralatan tersebut termasuk peranti berdiri (contohnya bingkai atau kerusi roda berdiri) dan ortosis (contohnya pendakap atau splin). Pengulas mempunyai bukti daripada kumpulan orang yang lain bahawa berdiri mengurangkan masalah fizikal, termasuk sakit, perkembangan kontraktur (pemendekan otot secara tetap) dan kelengkungan tulang belakang. Berdiri juga menguatkan tulang. Walau bagaimanapun, pengulas tidak mempunyai bukti tentang kesan-kesan penggunaan bingkai berdiri atau ortosis oleh kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa dengan DMD.

Pengulas mencari penulisan perubatan untuk kajian-kajian yang memenuhi kriteria kemasukan mereka. Pengulas memerlukan kajian-kajian untuk menilai peranti-peranti berdiri untuk digunakan untuk DMD berbanding dengan tiada peranti berdiri, model peranti berdiri yang berbeza, penjagaan biasa, atau bantuan alternatif yang membolehkan menampung berat badan. Kajian hendaklah mengagihkan peserta secara rawak kepada kumpulan penerima rawatan (kajian-kajian ini biasanya menyediakan kualiti bukti tertinggi).

Hasil-hasil kajian utama dan kualiti bukti

Pengulas mendapati tiada kajian yang menepati kriteria kemasukan mereka.

Kesimpulan

Pengulas mendapati tiada kajian relevan yang layak untuk ulasan ini menentukan keberkesanan peranti berdiri untuk kanak-kanak lelaki dengan DMD. Pengulas memerlukan kajian-kajian yang lebih lanjut untuk menentukan sama ada peranti berdiri mempunyai kesan ke atas masalah kesihatan yang spesifik, penyertaan dalam aktiviti-aktiviti, dan kualiti hidup. Kajian penyelidikan di masa depan harus juga memberi tumpuan kepada 'dos' berdiri (contohnya tempoh, kekerapan dan jumlah galas berat) dan penggunaan ortosis yang berbeza.

Bukti adalah terkini sehingga September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus (sebelum ini dikenali sebagai Penang Medical College)). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information