Terapi penggantian enzim untuk penyakit Pompe permulaan infantil

Latar belakang

Penyakit Pompe adalah gangguan simpanan lisosom yang pertama yang dikenal pasti (penyakit metabolik yang diwarisi yang dicirikan oleh pembentukan pelbagai bahan toksik yang abnormal dalam sel-sel badan). Ia menyebabkan kerosakan otot akibat pengumpulan glikogen (yang diguna sebagai sumber tenaga oleh badan) di dalam lisosom akibat kekurangan enzim yang dipanggil asid alpha-glucosidase (GAA). Terdapat spektrum yang luas bagi jenis penyakit Pompe dengan permulaan infantil (bermula semasa kanak-kanak) yang paling teruk. Ciri-ciri biasa yang dikemukakan oleh bentuk infantil adalah kelemahan makin teruk jantung, otot-otot yang diguna dalam pernafasan dan otot skeletal. Lidah dan hati boleh menjadi besar. Ulasan ini bertujuan menilai keberkesanan dan keselamatan terapi penggantian enzim dalam kalangan kanak-kanak dengan penyakit Pompe permulaan infantil.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 24 November 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal terapi penggantian enzim dalam kalangan kanak-kanak dengan penyakit Pompe. Kami mendapati tiada kajian rawak (di mana orang yang terlibat dalam kajian mempunyai peluang sama untuk diletakkan dalam kumpulan rawatan atau kumpulan kawalan) membandingkan keberkesanan dan keselamatan terapi penggantian enzim dengan intervensi lain, tanpa intervensi atau plasebo (ubat tiruan). Kami mendapati satu kajian (18 kanak-kanak) yang membandingkan dua dos alglucosidase alfa rekombinan manusia (terapi penggantian enzim): 20 mg/kg setiap dua minggu (dos rendah) dan 40 mg/kg setiap dua minggu (dos tinggi). Tempoh rawatan terdiri daripada 52 minggu (tempoh kajian asal) hingga tiga tahun (termasuk fasa lanjutan kajian), dengan median (bilangan pertengahan) tempoh rawatan 2.3 tahun.

Keputusan utama

Terdapat keputusan yang sangat terhad yang sedia ada oleh kumpulan dos, kajian menunjukkan tiada bukti yang memihak kepada dos tinggi berbanding dengan dos rendah. Ia menjelaskan bahawa respons klinikal termasuk fungsi jantung, pembangunan motor (perkembangan otot kanak-kanak dan keupayaan mereka untuk bergerak dan memanipulasi persekitaran mereka), serta perkadaran kanak-kanak yang bebas daripada ventilasi invasif, adalah sama di dalam kedua-dua kumpulan (bukti berkualiti rendah). Rawatan alglucosidase alfa jangka panjang ketara memberi peluasan survival serta bebas ventilasi (masa tanpa memerlukan mesin untuk membantu pernafasan) dan pembaikan kardiomiopati (penyakit jantung) (bukti berkualiti rendah). Berhubung dengan bilangan kanak-kanak yang mengalami satu atau lebih peristiwa yang berkaitan dengan infusi, tiada perbezaan yang ketara antara kumpulan dos yang berbeza (bukti berkualiti rendah), walaupun, pada 52 minggu, lima kanak-kanak dalam kumpulan dos rendah mengalami sejumlah 41 kejadian berkaitan dengan infusi ringan atau sederhana (tidak teruk) dan enam kanak-kanak dalam kumpulan dos tinggi mengalami sejumlah 123 kejadian yang berkaitan dengan infusi. Menjelang akhir fasa lanjutan, lima kanak-kanak dalam kumpulan dos rendah mengalami sejumlah 47 peristiwa yang berkaitan dengan infusi dan enam kanak-kanak dalam kumpulan dos tinggi mengalami sejumlah 177 kejadian berkaitan dengan infusi.

Kajian baharu perlu dilakukan dengan jumlah peserta yang mencukupi untuk mengesan keberkesanan dan keselamatan dos alglucosidase alfa yang berbeza. Hasil klinikal utama (iaitu fungsi jantung, masa ke ventilasi, survival, pembangunan motor dan kesan sampingan) hendaklah diselaraskan apabila dinilai dan dilaporkan.

Kualiti bukti

Bukti yang disediakan oleh kajian kecil ini berkualiti rendah. Kajian disokong oleh Perbadanan Genzyme.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information