Terlipressin berbanding ubat vasoaktif lain untuk sindrom hepatorenal

Latar belakang

Sindrom Hepatorenal adalah sejenis kegagalan buah pinggang (berkaitan dengan buah pinggang) yang berlaku pada orang dengan penyakit hati yang teruk dan cecair di dalam perut (asites). Penyelidik tidak faham sepenuhnya mengapa sesetengah orang dengan penyakit hati mengalami sindrom hepatorenal, tetapi umumnya percaya bahawa tekanan darah rendah dan pengurangan bekalan darah ke buah pinggang adalah salah satu punca utama. Secara teorinya, ubat yang meningkatkan tekanan darah mungkin bermanfaat. Terlipressin ubat yang digabungkan dengan infusi albumin (protein) adalah rawatan yang disyorkan untuk orang yang mengalami sindrom hepatorenal mengikut garis panduan. Sesetengah negara (contohnya Amerika Syarikat) tidak meluluskan penggunaan terlipresin dan penyelidik telah menyarankan agar ubat vasoaktif lain boleh digunakan.

Soalan ulasan

Adakah terlipressin lebih bermanfaat atau selamat daripada ubat vasoaktif yang lain untuk rawatan sindrom hepatenal?

Tarikh carian

November 2016.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik melibatkan 10 kajian klinikal dengan 474 peserta. Tujuh kajian membandingkan terlipressin dan albumin berbanding noradrenaline dan albumin. Baki tiga kajian membandingkan terlipressin dan albumin berbanding midodrine dan oktreotide, atau oktreotide sahaja, atau dopamin. Secara keseluruhan, 241 peserta menerima terlipressin dan 233 peserta menerima ubat vasoaktif lain (ubat-ubatan yang mengubah tekanan darah, noradrenaline, oktreotide, midodrine, atau dopamine).

Sumber dana kajian

Dalam lima kajian, penyiasat secara khususnya menyatakan bahawa mereka tidak menerima pembiayaan daripada organisasi yang boleh mendapat keuntungan dari hasil kajian. Penyelidik tidak mempunyai maklumat tentang sumber pembiayaan daripada lima kajian yang selebihnya.

Keputusan utama

Analisis penyelidik menemui bukti yang tidak pasti untuk menyokong atau menolak terlipressin berbanding ubat vasoaktif lain dalam rawatan sindrom hepatorenal ketika menilai kematian atau kesan sampingan yang serius. Analisis penyelidik mencadangkan bahawa rawatan dengan terlipressin mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap sindrom hepatorenal dengan mengurangkan jumlah peserta dengan sindrom hepatorenal yang berterusan. Analisis tambahan menunjukkan bahawa jumlah peserta dalam kajian adalah terlalu kecil bagi penyelidik untuk memastikan ini. Oleh itu, penyelidik mendapati bahawa perbezaan penting antara terlipresin dengan ubat-ubatan vasoaktif lain mungkin mungkin diabaikan.

Kualiti bukti

Penyelidik mendapati bahawa bukti tersebut mempunyai kualiti yang sangat rendah kerana risiko berat sebelah yang tinggi dan bilangan peserta yang kecil.

Rumusan pengarang

Penyelidik memerlukan kajian tambahan yang besar yang berkualiti tinggi untuk menilai sama ada terlipressin lebih bermanfaat atau selamat daripada ubat vasoaktif yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save